KUALA TERENGGANU – Pesisir pantai Terengganu sekali lagi ‘diserang’ longgokan sampah dari negara luar apabila fenomena Monsun Timur Laut (MTL) kembali membawa limpahan bahan buangan yang mencemarkan seluruh jajaran pantai negeri ini sejak minggu lalu.
Pengerusi Geng Plastik Ija (GPI), Zulkefli Sarji berkata, fenomena itu dijangka berlarutan sehingga Mac depan selari dengan kitaran monsun tahunan yang menjadi punca sampah hanyut dari laut terbuka kembali terdampar di pantai negeri ini.
Menurutnya, sampah yang dipercayai datang dari negara jiran serta kawasan pedalaman itu bukan sahaja memenuhi Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, malah turut dikesan di sepanjang pesisir dari Kemaman hingga ke Besut.
“Arus laut akan membawa sisa yang hanyut dari sungai ke laut sebelum ia dibawa semula ke darat oleh ombak besar. Setiap tahun jumlah kutipan sampah meningkat ketika monsun. Kita kutip, tetapi sampah baharu tetap datang. Ini baru permulaan musim tengkujuh,” katanya ketika dihubungi.

Zulkefli berkata, kehadiran botol plastik dan sampah sarap lain bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah mengancam ekosistem marin termasuk penyu dan hidupan pantai. Katanya, kemerosotan populasi penyu belimbing yang kini diisytihar pupus di Malaysia boleh menyebabkan bilangan obor-obor meningkat sehingga menjejaskan keseluruhan rantaian makanan laut.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pembuangan sampah merata bukan hanya berpunca dari luar negara, sebaliknya turut berlaku dalam negara sendiri.
Justeru itu, beliau mengajak masyarakat mengurangkan penggunaan plastik serta bersama menyertai program pembersihan pantai sebagai usaha menjaga kebersihan dan mengurangkan beban pencemaran.





