Home Berita PAS Pahang

Sambutan Hari Guru PASTI Pekan jalin kemesraan

130
SHARE

Oleh ZAITON ABDUL HALIM

PEKAN, 28 Mei ♦ Seramai 36 orang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) telah diraikan dalam majlis Sambutan Hari Guru dan Ramah Mesra PASTI Kawasan Pekan yang diadakan di Dewan Pra Tahfiz, Masjid Fatimah Az-Zahra, Indera Sempurna, dekat sini semalam.

Sambutan Hari Guru yang bertemakan ‘Guru Mithali Pemangkin Generasi Rabbani’ itu telah dihadiri oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan.

Menurut Rafiq Khan, PASTI merupakan satu medium yang sangat kuat untuk menyakinkan ibubapa akan keunggulan sistem pendidikan pra-sekolah yang dibawakan oleh PAS.

“Di Kawasan Pekan ni, kita telah ada 13 buah PASTI dan yang terbaru adalah di Sri Makmur dengan 12 orang pelajar.

“Pada mulanya bukan senang orang di sini nak terima PASTI kerana fahaman politik yang berbeza, tetapi  sekarang orang dah mula menyakininya dan mahu menghantar anak mereka belajar di PASTI,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati para guru yang hadir agar tidak mengajar sesuatu yang meragukan, malah mengamalkan apa yang telah diajarkan kepada pelajar dan mendidik dengan penuh keikhlasan.

Rafiq Khan yang juga Ketua Pemuda PAS Pekan turut mengharapkan para guru memberi komitmen yang tinggi untuk menghadiri usrah yang diadakan secara berkala supaya lebih faham perjuangan dan perjalanan aktiviti PAS.

Beliau yang memahami kekangan yang dihadapi oleh para amilin itu tetap mendorong mereka untuk cuba melakukan yang terbaik dengan menyusun gerak kerja agar dapat melibatkan diri dalam program-program PASTI.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi PASTI Pekan, Mohd Kharul Naim Ahiatuddin, Ketua Dewan Muslimat PAS Pekan, Jamilah Chu, dan Timbalan Ketua Muslimat Ustazah Rahidaton Nordin.