BATU, 26 Mei – Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Kawasan Batu anjuran Jabatan PASTI kawasan tersebut telah berjaya diadakan baru – baru ini di Dewan Aminudin Baki, Wisma Sejarah.
Program ini bermula dengan berbuka puasa, solat maghrib, solat isya dan solat sunat tarawih secara berjemaah sebelum para guru PASTI diraikan dalam satu majlis yang meriah.
Seramai 80 orang warga PASTI telah hadir ke program tersebut termasuk para jemputan khas iaitu Yang Dipertua PAS kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya, Ketua Pemuda PAS kawasan Batu, Ustaz Mohd Norhan Hamsi dan Ketua Muslimat PAS Batu, Puan Hajah Salbiah Abd Wahab.
Dalam ucapan beliau, Ustaz Norhan menyebut, “Peranan guru – guru PASTI yang mencorakkan kehidupan anak-anak PASTI hari ini adalah sekaligus ke arah melahirkan pelapis pimpinan yang bakal mentadbir negara ini.”
Yang Dipertua PAS kawasan Batu turut menyampaikan harapan serta ucapan terima kasih kepada pihak yang terlibat khususnya dalam aspek pendidikan PASTI.
Dalam ucapan tersebut Ustaz Azhar mengingatkan bahawa, “Guru-guru inilah yang akan memastikan pembentukan keluarga yang mencintai Islam dan perjuangan Islam. Sekiranya kita mempunyai 400 murid PASTI, insyaAllah pada masa yang sama kita yang akan memberi ilmu kepada keluarga mereka secara tidak langsung.”
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Pemuda PAS Batu yang bertungkus lumus dalam menjayakan pengurusan dan agenda pendidikan PAS. Beliau turut menyatakan bahawa sasaran seterusnya adalah untuk membuka Sekolah Integrasi Teras Islam (SRITI) yang merupakan produk pendidikan kedua Pemuda PAS Malaysia.
Sambutan majlis tersebut telah diakhiri dengan sesi pemotongan kek Hari Guru dan penyampaian hadiah Hari Guru kepada warga pendidik PASTI.