HULU TERENGGANU , 10 Jun — Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid menyambut baik keputusan kerajaan untuk menangguhkan penguatkuasaan peraturan yang mengehadkan penggunaan gas LPG bersubsidi kepada peniaga kecil.
Beliau berkata perjuangan membantah pelaksanaan dasar itu sejak awal bukan bersifat populis, sebaliknya berpaksikan kepentingan rakyat.
Menurutnya, walaupun menerima kecaman dan kritikan sewaktu isu ini mula dibangkitkan, beliau tetap konsisten memperjuangkan suara rakyat yang bakal menanggung beban akibat dasar tersebut.
“Tak mengapalah saya dikecam dan dihentam apabila saya bangkitkan isu ini. Tetapi Alhamdulillah, akhirnya kerajaan mendengar cadangan kami dan tangguhkan penguatkuasaan.
“Apa yang kami perjuangkan adalah demi kepentingan rakyat, bukan kepentingan diri,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Rosol turut menekankan bahawa sebarang perubahan dasar melibatkan barangan keperluan asas seperti gas LPG perlu dibuat secara berperingkat dan disertakan dengan pelan pelaksanaan yang teliti agar tidak memberi kesan domino kepada pengguna akhir.
“Bayangkan kesannya kepada rakyat kalau peraturan sekat penggunaan gas LPG subsidi kepada peniaga kecil ini terus dilaksanakan tanpa pelan yang betul, akhirnya pengguna yang akan terkesan,” tambah beliau.
Dalam masa sama, Rosol turut menyeru agar kerajaan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan.
“Ia bagi memastikan sebarang dasar yang digubal benar-benar menjaga kebajikan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil yang bergantung kepada sumber itu untuk kelangsungan perniagaan,” ujarnya.