KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Mohd Soud Said menyerahkan satu memorandum rasmi kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini berhubung salah guna kuasa dan intimidasi politik yang dikenakan terhadap Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahmad Samsuri yang turut diwakili peguam, Datuk Dr. Kamilia Ibrahim menyerahkan memorandum berkenaan bagi membantah tindakan pengawasan dan tekanan melampau sekitar jam 3 petang tadi.
Dr. Kamilia menegaskan, memorandum tersebut menyatakan kebimbangan serius terhadap tindakan pengawasan yang dipercayai dilakukan melalui mekanisme ‘Travel Control Order’ (TCO) secara senyap.
“Ini sangat melampaui batas dan mencabul hak asasi manusia, khususnya hak kebebasan bergerak seperti yang dijamin di bawah Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan terhadap YAB Menteri Besar Terengganu.
“Turut didedahkan dalam memorandum itu ialah komunikasi peribadi Menteri Besar turut dipantau secara tidak sah, sekali gus mencabuli hak privasi beliau sebagai individu dan penjawat awam,” katanya dalam sidang media selepas penyerahan memorandum di Ibu Pejabat Suhakam di sini.

Dr. Kamilia menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk penyalahgunaan jentera kerajaan oleh pihak tertentu dalam kerajaan Persekutuan bagi menekan tokoh politik yang lantang memperjuangkan idealisme secara berprinsip.
“Tindakan seperti ini berbahaya kepada amalan demokrasi dan mencipta iklim ketakutan serta tekanan terhadap tokoh pemimpin yang berbeza politik,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Soud menyeru supaya reformasi menyeluruh terhadap institusi penguatkuasaan dan pengawasan negara dilakukan segera, agar tiada mana-mana pihak boleh menyalahgunakan kuasa untuk tujuan politik.
“Malaysia hanya akan maju apabila prinsip keadilan, kebebasan dan integriti institusi dijadikan asas pentadbiran, bukan apabila kuasa digunakan untuk membungkam suara yang sah dalam demokrasi.
“Memorandum ini turut menggesa kerajaan Malaysia, Suhakam dan rakyat yang prihatin supaya memperkukuh sistem akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dalam tindakan agensi keselamatan demi menjamin masa depan negara yang lebih adil dan beretika.
“Kita tidak menuntut layanan istimewa, kita menuntut keadilan yang sewajarnya. Sudah tiba masanya untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa dan memperbetul arah tuju negara,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri mengatakan beliau telah dilabel dan ditandai sebagai ‘TCO’ dalam sistem kawalan sempadan oleh satu pihak cawangan khusus sejak pertengahan tahun 2024.
Katanya, cara tersebut membuatkan beliau seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata di tanah air sendiri.
“Saya ‘ditahan’ dan dibawa ke tepi, satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan, untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024.
“Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui, dan apa yang saya perbualkan, semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak political master atau operator utamanya,” katanya.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut mengakui beliau juga dikenakan TCO seperti dihadapi Ahmad Samsuri sejak tahun lepas.