Home Berita PAS Terengganu

SAHANITA perhebat usaha, fokus mantapkan ekonomi kawasan dan dun

7
SHARE

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Badan Bukan Kerajaan (NGO) SAHANITA memperkukuhkan usaha di peringkat kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan tumpuan kepada pemantapan strategi kewangan dan ekonomi setempat.

Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Dewan Muslimat PAS Terengganu (DMPNT), Rohani Awang berkata, langkah ini diambil bagi memastikan ekonomi kawasan terus berkembang dan kukuh.

“Kita perlu merancang strategi kewangan yang lebih kukuh dan memastikan ekonomi di peringkat kawasan berkembang dengan lebih baik.

“Walaupun kewangan kita sudah stabil, usaha untuk mempertingkatkannya tetap perlu diteruskan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jalinan di Kasih Maecon D’River, Kampung Beladau Selat pada Ahad, 20 Oktober.

Justeru itu, beliau berharap setiap kawasan merancang dan melaksanakan tugas dengan baik di peringkat kawasan dan DUN.

“Pelan tindakan yang dibuat adalah untuk merancang hala tuju Lajnah Ekonomi dan menambah baik program-program di setiap kawasan dan DUN.

“Objektif utama kita adalah mencari sumber kewangan tambahan dan memantapkan kewangan sedia ada.

“Di samping itu, kita juga perlu memupuk semangat kerjasama dalam kalangan muslimat negeri, kerana mencari sumber kewangan bukanlah perkara yang mudah,” ujar beliau.

Beliau menambah, dalam usaha ini, kerjasama dalam kalangan muslimat negeri sangat diperlukan bagi mencapai matlamat bersama.

“Tanggungjawab kita adalah untuk menjana kewangan jemaah, dan Lajnah Ekonomi perlu memainkan peranan penting dalam menyedarkan ahli-ahli mengenai pentingnya sedekah, infak, serta peranan fi sabilillah dalam membina kekuatan ekonomi ummah.

“Lajnah Ekonomi perlu memberi pendedahan kepada ahli dan masyarakat dalam bidang keusahawanan.

“Kita perlu mendekati usahawan di setiap kampung dan kawasan, dengan matlamat untuk membina ekonomi yang stabil, terutama bagi keluarga-keluarga di kawasan tersebut.

“Usaha ini memerlukan pengorbanan tenaga dan masa, dan kita semua perlu bersedia untuk melibatkan diri sepenuhnya demi kejayaan lajnah,” katanya.

Beliau menambah, pelan tindakan ini dapat memperkukuh ekonomi kawasan secara keseluruhan, membawa manfaat kepada masyarakat dan seterusnya memperkasakan ummah.

Justeru itu, beliau berharap NGO SAHANITA akan berjaya membantu menjana ekonomi golongan B40, membasmi kemiskinan tegar, serta melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya, sama ada di peringkat kecil mahupun komersial.

“Kita perlu jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

“Jangan sesekali menjadikan platform ini untuk kepentingan peribadi, sebaliknya manfaatkan peluang ini untuk menjana ekonomi bagi kepentingan jemaah secara keseluruhan.

“Kejujuran dalam menguruskan kewangan adalah kunci kejayaan kita bersama,” tambah beliau lagi.