Home Berita PAS Pahang

Sahabat Huffaz Pahang gesa institusi agama halang konsert sia-sia

207
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 8 Mac ◊ Sahabat Huffaz Pahang menggesa institusi agama di Malaysia bersungguh-sungguh menghalang sebarang program dan konsert yang tidak mematuhi syariah berlangsung di bumi Malaysia.

Pengerusinya, Dr Ustaz Felza Zulhibri Abdul Hamid Al Hafiz dalam satu hantaran di laman Facebook NGO itu pada Isnin berkata, pihaknya membantah dengan keras sebarang bentuk penganjuran konsert atau apa sahaja program bersifat ‘lagho’ (sia-sia) yang menyumbang kepada kerosakan akhlak.

“Kami NGO Sahabat Huffaz Pahang mengutuk sekeras-kerasnya apa sahaja program ‘lagho’ termasuklah konsert-konsert yang jelas merosakkan anak-anak bangsa.

“Ia semakin menjelekkan apabila dilangsungkan ketika mana umat Islam sedang bersiap sedia menyambut kedatangan bulan Rajab, Sya’ban dan Ramadan.

“Penganjur dengan jelas tidak menghormati sensitiviti umat Islam selaku kaum majoriti di Malaysia.

“Amat-amat mendukacitakan kami sekiranya penganjur yang meluluskannya, merancangkannya dan juga yang memberi sokongan adalah daripada kalangan orang Islam sendiri,” ujarnya.

Beliau mewakili keseluruhan ahli jawatankuasa, berharap agar pihak-pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan tegas melalui kuasa yang ada menghalang program seumpama ini berlaku dan berulang di masa akan datang.

“Bangkitlah bersama-sama menolak budaya songsang yang tanpa segan silu mencalar kesucian Islam,” tegas beliau.