Oleh : Yusrizal Baco
8 Ogos 2025
Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah, menyambut baik slogan “Sabahan for Malaysia”, yang cuba diperkasakan oleh Naib Presiden Perikatan Nasional Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.
Katanya, Sabah perlu menulis naratifnya sendiri yang berpaksikan realiti dan aspirasi rakyatnya, khususnya generasi muda, pelapis kepimpinan negeri dan juga negara.
Menurutnya, generasi baru Sabah tidak hanya mahu hak mereka sahaja, tetapi juga mahu peluang, pengaruh dan peranan mereka ada dalam membentuk masa depan Malaysia yang Sejahtera,
“Kita tidak sekadar bercakap tentang keadilan untuk Sabah, tapi tentang bagaimana Sabah boleh menjadi sebahagian daripada jawapan besar untuk negara ini.
“Sudah sekian lama Sabah dihidangkan dengan naratif “Sabah for Sabahan”, tapi sampai bila kita hanya bercakap kepada diri sendiri?
“Sampai bila kita hanya berpusing dalam bulatan yang sama? seolah-olah masa depan Sabah hanya boleh wujud jika terpisah dari arus nasional?,” ujarnya dalam satu kenyataan rasmi dibuat dalam laman Facebooknya.
Tambahnya, seruan “Sabahan for Malaysia” ini, adalah seruan yang segar, menyeru rakyat Sabah, terutamanya anak muda untuk keluar dari zon selesa dan bangkit menjadi pemain utama dalam pembinaan negara.
Katanya, rakyat Sabah, khususnya anak muda, bukan lagi kelompok yang hanya menunggu giliran.
“Rakyat dan pemimpin Sabah adalah tenaga, idea, dan semangat yang Malaysia perlukan untuk bergerak ke hadapan.
“Kita percaya, sudah tiba masanya, kita membawa satu budaya politik Sabah yang baharu, iaitu “Sabahan4Malaysia”,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Sabah bukan sekadar penerima dasar, tetapi Sabah harus menjadi pencetus dasar.
“Sabah bukan sekadar diberi tempat, tetapi Sabah, perlu diberi ruang untuk memimpin.
“Sabah bukan hanya tentang tuntutan tapi juga tentang tawaran,” tambahnya.
Hendri turut menjelaskan bahawa, sumber kekayaan yang besar, kepelbagaian budaya serta anak mudanya yang kental semangatnya, akan menjadikan Sabah lebih hebat daripada apa yang telah dijangka selama ini.
“Kita mahu Sabah dikenali bukan kerana masalahnya, tetapi kerana potensinya.
“Kita mahu anak muda Sabah bukan hanya menyertai perbahasan nasional, tetapi juga memimpin wacana nasional,” katanya.
Jelasnya, kita mahu Sabah bukan hanya disebut dalam ucapan, tetapi disenaraikan dalam agenda besar negara.
Tambahnya, ini bukan retorik kosong, tetapi ini adalah sebuah visi, visi untuk melihat Sabah bukan di pinggiran, tapi di tengah.
“Ini adalah visi untuk melihat anak muda Sabah yang bukan lagi sebagai pemerhati, tetapi sebagai pemimpin yang menentukan arah,” ujarnya.