Home Artikel PAS Sabah

Sabah bakal bertukar kerajaan?

907 views
SHARE

Oleh ZULAIKHA ZULKIFLEE

SEPANGGAR: PAS Negeri Sabah tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan pemerintah Kerajaan Negeri Sabah dari PRU14 nanti, demikian pandangan diungkapkan Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling.

Menurutnya, berdasarkan angin perubahan dan kecenderungan semasa rakyat serta ‘pengalaman’ politik dizahirkan penduduk negeri di Bawah Bayu itu, pertukaran sekali lagi teraju adalah tidak mustahil.

“Sabah ‘berpengalaman’ dalam pertukaran kerajaan. Bermula dengan Usno, (kemudian) Berjaya, (kemudian lagi) PBS dan kemudiannya Umno.

“Jadi, tidak mustahil untuk kita (rakyat Sabah) tukar kerajaan lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti,” ujarnya.

Perkara itu diungkapkannya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Kelapan PAS Kawasan Sepanggar di Pejabat Badan Perhubungan PAS Sabah, di sini kelmarin.

Aminuddin turut melahirkan optimistiknya bahawa PAS Sabah mampu mencapai kemenangan melahirkan anak sulung ke Dun Sabah pada PRU14 itu nanti.

Beliau menyeru ahli-ahli PAS menggiatkan kerja dakwah dan siyasah berterusan kepada masyarakat disamping tidak mengkesampingkan pentarbiyahan diri.

Manakala Yang DiPertua PAS Sepanggar, Dr Aliakbar Gulasan dalam ucapan penangguhannya mengingatkan ahli agar bersiap sedia menghadapi PRU14 tidak lama lagi dengan sumbangan fikiran dan kerja meraih sokongan undi.

“Siyasah merupakan jihad tertinggi di Malaysia, Kita tidak perlu turun angkat senjata dan berperang. Kita cuma perlu ajak orang sokong PAS. Namun kerja ini perlu dilaksanakan dengan kerjasama dan muafakat seluruh ahli,” serunya.