Oleh: Muhammad Hadi
ARAU: Debaran siapakah pemilik Motosikal KTM DUKE 200 yang menjadi hadiah utama cabutan bertuah program Santai 2 Taya (S2T) terjawab apabila motosikal berkenaan sah menjadi milik Azad Ismail, pelajar tingkatan 4 Madrasah Diniah Islamiah (MADI).
Beliau adalah antara 239 orang peserta yang mendaftar untuk program berkenaan, yang turut menyediakan hadiah berupa aksesori motosikal, helmet,jam tangan dan sebagainya.
Program S2T adalah sebahagian daripada agenda Himpunan Anak Muda Istiqamah Perlis (HAMAS 4.0) yang telah berlangsung selama 3 hari di Kompleks Pendidikan MADI, Jejawi Dalam, bermula 24 November yang lalu.
S2T adalah program bersifat santai khusus kepada anak-anak muda, menampilkan personaliti-personaliti terkenal seperti Ustaz Mat Cina (Pendakwah), Saffry Romly dan Elly Idzli Aikmal (ikon cub prix) serta Man John (gitaris).
Bermula dengan acara konvoi, acara diteruskan dengan cabutan bertuah diselangselikan dengan slot santai bersama para personaliti jemputan yang cukup menghiburkan.
Hadiah utama telah disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga ADUN Sanglang, YB Mohd. Shukri Ramli kepada pemenang.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir. Khairil Nizam Khiruddin, Exco DPPM, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua DPPNPs, Ustaz Muhammad Azmir Azizan dan Dr. Saifizi Saidon, Naib Ketua DPPNPs.