KUALA TERENGGANU – Buat julung kalinya, RXZ Members menjalin kerjasama strategik bersama Takafulgo Venture dalam menyediakan perlindungan takaful kepada 100,000 peserta yang dijangka hadir ke Program RXZ Members 7.0.
Kerjasama ini dimeterai melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Duyong Marina & Resort petang tadi.
Langkah tersebut merupakan satu inisiatif inovatif ke arah meningkatkan kesedaran dan akses terhadap perlindungan takaful dalam kalangan komuniti permotoran, khususnya pemilik motosikal Yamaha RXZ di seluruh Malaysia.
Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, penawaran skim takaful itu merupakan satu penambahbaikan penting dalam usaha menjadikan acara permotoran terbesar itu lebih selamat dan bertanggungjawab.
“Peserta datang dari seluruh negara, dari Johor, Melaka, malah ada yang sanggup hadir dari Sabah dan Sarawak.
“Kita sentiasa mengharapkan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden, namun hakikatnya kejadian tidak diingini boleh berlaku. Justeru, dengan adanya perlindungan takaful ini, sekurang-kurangnya peserta akan dilindungi jika berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri majlis tersebut, di sini, hari ini.
Beliau berharap agar para peserta mengambil peluang untuk mencarum dalam skim yang ditawarkan agar keselamatan dan kebajikan mereka lebih terjamin sepanjang program berlangsung.
“Sebagai penganjur program ini, saya sarankan ambillah takaful ini di samping itu saya nasihatkan agar masing-masing menjaga keselamatan dengan memastikan rehat yang cukup, jaga kesihatan dan pastikan motor dalam keadaan baik serta mengikut undang-undang apabila memulakan perjalanan untuk ke program nanti,”ujarnya,
Dalam pada itu, Pengarah Takafulgo Venture, Irwan Ima Mahmud berkata, skim takaful yang ditawarkan serendah RM70 sahaja setahun meliputi perlindungan harian sepanjang 24 jam setiap hari tanpa mengira di mana peserta itu berada.
“Sekiranya berlaku kematian kita akan lindungi sehingga RM50,000, disampaikan buat orang tersayang kerana kita tahu rata-rata peserta yang datang dan pemilik RXZ ini merupakan mereka yang sudah berkeluarga.
“Peserta juga akan kita lindungi apabila berlakunya hilang upaya akibat kemalangan, biasanya apabila ini berlaku ada yang terjejas kehidupan kerana tidak boleh bekerja seperti biasa,” ujar beliau.
Tambah beliau, permohonan bagi mendapatkan skim takaful itu amat mudah, hanya melalui atas talian serta tidak perlu melalui ujian kesihatan.
Untuk maklumat lanjut peserta boleh layari website www.takafulgoo.com