Home Berita PAS Terengganu

RUU 133: Shaharizukirnain Gesa Lindungi Kanak-Kanak, Libat JPKK

8
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Setiu menggesa kerajaan memastikan pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan 1974 benar-benar berkesan di seluruh negara, khususnya di kawasan luar bandar, dengan menekankan keperluan melibatkan pemimpin akar umbi dan melindungi kanak-kanak daripada hukuman keterlaluan.

Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, pindaan RUU itu yang menaikkan kadar denda kesalahan kebersihan daripada RM500 kepada RM2,000, selain membolehkan Mahkamah mengenakan hukuman khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh 6 bulan, merupakan langkah yang baik sekiranya dikuatkuasakan secara adil dan menyeluruh.

Namun, beliau menegaskan penguatkuasaan di kawasan luar bandar seperti Setiu berdepan cabaran besar kerana kekurangan pegawai penguat kuasa, keluasan kawasan dan kemampuan logistik yang terhad berbanding bandar-bandar besar.

“Saya bimbang undang-undang ini hanya akan berkesan di bandar seperti Subang Jaya atau Georgetown tetapi gagal di daerah luar bandar. Saya cadangkan Ketua Kampung, Pengerusi JPKK dan Imam Kariah dilantik secara rasmi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai penyelia khidmat masyarakat. Dengan penglibatan pemimpin tempatan, penguatkuasaan dapat diperkukuh dan tanggungjawab bersama dalam komuniti dapat dibina,” katanya.

Beliau menegaskan, pelantikan ini perlu disertakan dengan garis panduan jelas, taklimat kepada penyelia komuniti dan pemantauan berkala agar pelaksanaan hukuman kekal profesional, adil serta bebas daripada pengaruh politik atau penyalahgunaan kuasa.

Ahli Parlimen Setiu itu turut menzahirkan kebimbangan mengenai penglibatan kanak-kanak sebagai subjek hukuman khidmat masyarakat seperti yang diperkenalkan dalam pindaan berkenaan, yang membolehkan hukuman dikenakan ke atas mereka selaras dengan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

“Walaupun bertujuan mendidik, tanpa garis panduan jelas atau had umur minimum, hukuman sehingga 12 jam dalam tempoh 6 bulan ini boleh menjadi keterlaluan terhadap remaja atau pelajar sekolah yang melakukan kesalahan kecil seperti membuang sampah.

“Kerajaan perlu perinci pelaksanaan ini supaya bersifat pemulihan dan tidak menghukum secara berlebihan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agar skop hukuman khidmat masyarakat diperkasa sebagai alat pendidikan sivik jangka panjang, bukan hanya kerja rutin seperti menyapu sampah atau membersihkan longkang.

“Pesalah yang mencemarkan alam sekitar boleh diarahkan menanam pokok atau menyertai projek hijau sebagai simbol tanggungjawab kepada komuniti dan alam sekitar. Pendekatan ini lebih mendidik serta memberi impak positif kepada masyarakat,” tegasnya.