Home Berita PAS Pahang

Rumah PR1MA : mampu milik atau mampu untung?

20
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

Kuantan, 4 Dis – Rumah PR1MA menjadi isu penting apabila dibeli dan dijual semula untuk mengaut keuntungan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu membangkitkan isu tersebut dalam Sidang Media Perikatan Nasional Pahang selepas Persidangan Dewan Negeri Pahang di sini hari ini.

Beliau memaklumkan, terdapat maklumat dan dokumen yang diterima mengenai kelemahan dalam pelaksanaan projek perumahan PR1MA, yang sepatutnya bertujuan menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

“Projek PR1MA ini menawarkan rumah jenis separa berkembar (semi-D) pada harga jauh lebih rendah daripada pasaran, sekitar RM150,000, untuk golongan yang tidak memiliki rumah. Namun, syarat pendapatan sehingga RM10,000 sebulan menyebabkan mereka yang sudah mampu atau memiliki rumah turut layak memohon,” katanya.

Menurutnya, situasi ini membuka ruang kepada penyelewengan apabila penerima yang sudah memiliki rumah membeli rumah PR1MA, lalu menjualnya semula pada harga RM230,000 hingga RM280,000.

Malah katanya lagi ada juga rumah PR1MA yang telah dijadikan homestay untuk tujuan komersial.

“Perkara ini jelas bertentangan dengan matlamat asal projek PR1MA, iaitu untuk membantu rakyat yang benar-benar memerlukan rumah mampu milik.

“Kita juga melihat iklan jualan rumah PR1MA ini dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal, menimbulkan tanda tanya mengenai keberkesanan proses pemilihan penerima,” tegas beliau.

Beliau mencadangkan agar kerajaan negeri:

  1. Meneliti Semula Proses Pemilihan:

Proses pemilihan perlu diperketatkan supaya hanya mereka yang benar-benar memerlukan dan tidak memiliki rumah diberi keutamaan.

  1. Menurunkan Had Pendapatan:

Had pendapatan penerima dicadangkan diturunkan kepada RM5,000 ke bawah, agar golongan B40 mendapat manfaat sebenar daripada projek ini.

  1. Fokus kepada Projek Rumah Makmur:

Projek Rumah Makmur, yang menawarkan rumah lebih kecil pada harga lebih rendah, harus diperluaskan untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah.

  1. Memastikan Pemantauan Ketat:

Penguatkuasaan perlu dilakukan bagi mengelakkan penjualan semula rumah PR1MA untuk keuntungan peribadi atau komersial.

Beliau yang juga sebagai Timbalan Pesurujaya PAS Pahang turut melahirkan rasa kebimbangan mengenai projek perumahan PR1MA yang terbengkalai, selain kelemahan dalam pelaksanaan projek ini yang membuka ruang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan.

“Kita harap Kerajaan negeri mengambil tindakan tegas agar projek ini benar-benar mencapai matlamat untuk membantu rakyat yang tiada rumah. Jangan biarkan kelemahan sistem menyebabkan golongan yang memerlukan terus terpinggir,” katanya.

Sidang media ini diadakan bagi mengetengahkan isu-isu rakyat yang dibangkitkan oleh ADN Perikatan Nasional sepanjang persidangan berlangsung.