Home Berita PAS Terengganu

Rumah murah siap dibina, pemilik terima kunci

161
SHARE

HULU TERENGGANU – Seramai 250 pemilik Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera ini menerima kunci apabila projek perumahan milik kerajaan negeri itu siap sepenuhnya sejak dibina pada Julai 2019.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek bernilai RM29 juta itu merupakan bentuk pembangunan yang memenuhi keperluan sebenar rakyat.

“Sebelum ni ada suara persoal apa pembangunan yang dibuat di Terengganu. Memang kita (kerajaan) ada pilihan untuk membina bangunan lain dengan sejumlah RM20 juta, RM30 juta.

“Biar orang tengok Terengganu ada menara pencakar langit dengan kos itu, tapi lebih baik kita buat rumah untuk rakyat.

“Kerajaan hari ini membuat pemilihan menentukan mana yang perlu didahulukan, mana yang perlu kemudiankan. Hasrat kerajaan adalah mampu menyiapkan sebanyak mungkin rumah mampu milik untuk rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, Kuala Berang di sini hari ini.

Projek perumahan itu dibina atas tanah berkeluasan 24.41 ekar dijadualkan siap lebih awal namun ekoran pandemik berlaku sedikit kelewatan.

Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa  Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak menyatakan penyerahan kunci akan dilakukan di dua projek perumahan sebelum pertengahan tahun ini.

“Projek seterusnya yang akan siap adalah di Tempinis dengan 160 unit dan Tok Jembal dalam 100 unit,” tambahnya.