Home Berita PAS Terengganu

Rumah ditimpa pokok segera dibaiki

165
SHARE

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan (JPKK) Pulau Serai mengambil tindakan segera dengan membaiki sebuah rumah penduduk yang ditimpa pokok.

Salwana Abdul Halim, 40, terharu dengan kecaknaan JPKK Pulau Serai yang membantu membaiki rumahnya.

Katanya, apabila diberitahu kejadian tersebut masing-masing datang menolong.

“Memandangkan hari Jumaat kedai ‘hardware’ tutup jadi kerja-kerja membaik pulih atap terpaksa ditangguhkan hingga keesokan hari,” ceritanya katanya ketika dihubungi selepas kejadian Jumaat lalu.

Menurut ibu enam anak itu, sewaktu kejadian suaminya, Ahmad Maharan Mat Rani, seorang nelayan tiada di rumah dan dalam perjalanan pulang setelah menangkap ikan.

“Masa tu saya sedang memasak di dapur, apabila saya mendengar bunyi di luar rumah, saya keluar untuk menjenguk, masa tu saya nampak pokok jatuh atas atap bahagian dapur, tempat saya berdiri sedang memasak tadi.

“Alhamdulillah saya dan anak-anak selamat, tiada yang cedera dan JPKK kata YB akan tanggung baiki semua yang rosak, terima kasih banyak kepada YB Cikgu Alias dan semua yang membantu,” katanya lagi.

Sementara itu Pengerusi JPKK, Abd. Halim Abd. Rahman, memberitahu pihak Pusat Khidmat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang telah menghantar tukang rumah untuk melakukan kerja – kerja membaik pulih atap rumah tersebut.

“Alhamdulillah semua dah selesai, maknanya tuan rumah tidak menunggu lama, YB urus selalu, hantar tukang mari pasang atap baru,” katanya.