MARANG – Kegembiraan jelas terpancar di wajah pasangan suami isteri yang memiliki dua anak orang kurang upaya (OKU) kerana penantian selama dua tahun untuk memiliki rumah menjadi kenyataan.
Syamsiah Osman, 43 dan suami, Mansor Said, 45 dari Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong, menitiskan air mata dan bersyukur menerima rumah yang jauh lebih baik untuk keselesaan dua anak istimewa mereka.
“Sebelum ini saya tinggal sementara di rumah ibu angkat suami berdekatan dengan kawasan ini. Selepas permohonan untuk bantuan mendirikan rumah di atas tanah milik keluarga diluluskan dan rumah ini siap, kami berpindah ke sini.
“Saya bersyukur sangat sebab kelengkapan yang ada memudahkan saya dan suami untuk menguruskan dua anak ini kerana mereka berdua memerlukan penjagaan rapi setiap masa,” ujarnya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian projek itu, di sini, hari ini.
Pasangan tersebut merupakan penerima bantuan pembinaan rumah di bawah Projek Baiti Jannati 2021 dengan usahasama Yayasan DiRaja Sultan Sultan Mizan (YDSM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurut Syamsiah, rumah yang dibina itu dilengkapi dengan dua buah bilik dimana sebuah bilik diubahsuai dengan saiz lebih besar berserta kemudahan untuk penjagaan dan memandikan dua anaknya yang menghidap cerebral palsy.
Syamsiah merupakan suri rumah manakala suaminya bekerja di sebuah kedai kereta di samping menjalankan perniagaan sampingan secara kecil-kecilan.
Menurut Syamsiah, selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM800, mereka juga menerima bantuan susu serta lampin pakai buang dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, bantuan pembinaan rumah itu merupakan salah satu daripada program di bawah peruntukan wang zakat yang disalurkan kepada golongan memerlukan.
Menurutnya, setiap rumah bernilai RM50,000 termasuk alatan dan kemudahan seperti perabot asas yang diperlukan oleh penerima bantuan.
“Memandangkan kos barangan telah meningkat dan kita juga tidak mahu membebankan penerima, kita jangka untuk pembinaan akan datang kita akan tambah peruntukan kepada RM60,000 bagi sebuah rumah termasuk perkakasan asas di dalam rumah,” katanya.
Sehingga kini, kira-kira 30 buah rumah telah dibina menerusi projek berkenaan sejak diperkenalkan pada 2021.