Home Minda Presiden

Rule of Law: Di Mana Allah?

4641
SHARE

Minda Presiden PAS

RULE OF LAW: DI MANA ALLAH?


Ramai kalangan yang menulis dan bercakap berkenaan kedaulatan undang-undang (Rule of Law), khusus di kalangan umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah. Namun mereka telah melupakan peranan akidah tauhid dalam pelaksanaan undang-undang dan kedaulatannya.

Sepatutnya wajib diletakkannya dalam Tauhid ‘Uluhiyyah dan Rububiyyah yang dihayati secara tersirat dalam 20 sifat yang wajib bagi Allah, bukan hanya dibaca secara tersurat sehingga tenggelam dalam perbahasan khilafiyyah di antara Salafi yang paling taasub (Wahabi) dan Khalafi yang sebahagian juga bertaasub (‘Asya’irah dan Maturidiyyah), tanpa membaca sejarah gerakan Islah dan Tajdid yang memahami pelaksanaan Islam sepanjang zaman yang berubah, tanpa meninggalkan prinsip akidah dan syariat yang tidak berubah. Generasi awal bersatu dalam perkara dasar dan tidak berkelahi dalam perkara cabang yang berbeza

Sikap melupakan kehebatan syariat Islam yang maha adil daripada sifat Ilmu dan Kalam Allah telah menyebabkan ramai diperbodohkan menerusi peristiwa pembunuhan kejam terhadap wartawan Almarhum As-Syahid Jamal Khashoggi, oleh kalangan yang kononnya mendukung Mazhab Salafi (Wahabi) sehingga taasub membuta tuli dan menjadi pengikut Salafi paling ulung yang bertukar menjadi buta dan tuli, sehingga mencemarkan imej Islam yang datang daripada Allah Yang Maha Adil.

Rasulullah S.A.W. menjadi teladan terbaik, ditegaskan benarnya melalui perisytiharan Allah S.W.T.:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (21)

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula berzikir (menyebut dan mengingati) Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Surah Al-Ahzaab: 21)

Rasulullah S.A.W. meletakkan dirinya berada di bawah kedaulatan undang-undang, disebut dalam peristiwa yang bersanad sahih lagi mutawatir (jumlah yang ramai dari kalangan yang berilmu, bersifat adil dan kuat ingatannya), bukannya seperti kisah Hang Tuah dan Hang Jebat yang tidak bersanad langsung, yang dikatakan taat setia melulu dan beraninya melulu tanpa akal. Jangan sesekali mengambil contoh Barat yang Kafir yang sebaik-baiknya tetap ke neraka juga, kerana budimannya tidak beriman khususnya kepada Allah dan Hari Akhirat.

Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. menyampaikan sabdanya:

“Sesungguhnya binasalah umat pada zaman dahulu kerana hanya menghukum orang yang lemah, membebaskan orang yang kuat. Demi Allah sekiranya puteri kesayanganku Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya aku hukum potong tangannya”. (Muttafaqun ‘Alaih)

Seterusnya di saat Baginda S.A.W. dipapah datang ke masjid beberapa hari sebelum wafatnya dan menyampaikan ucapan:

“Sekiranya ada dari kalangan kamu, yang aku zalimi maruahnya sila nyatakan. Ini maruahku sila balas, sekiranya ada hartanya yang aku zalimi sila nyatakan, kerana aku mahu menggantinya …”.

Perkara ini dicontohi oleh para Khulafa’ Ar-Rasyidin dan raja-raja Islam yang adil selepasnya dan dilaksanakan berkonsepkan mengabdikan diri kepada Allah, dengan bijak tanpa menyentuh ketenteraman rakyat yang diutamakan, bukannya bodoh tanpa peduli keutamaan ketenteraman rakyat.

Pelaksanaannya mengikut proses kehakiman yang adil dan beriman, menepati prinsip Siyasah Syariah dan Maqasid Syariah yang sebenarnya, bukan sekadar ucapan sahaja laksana burung kakak tua yang bercakap tanpa akal yang matang dan ilmu yang mendalam.

Pelaksanaan Islam sangat ditakuti oleh musuhnya. Kalau yang memimpin itu Islam, kerana adilnya akan menjadi dakwah amali yang menarik manusia kepada Islam sehingga berduyun-duyun.

Islam menerokai jalan sutera dan mengharungi lautan sehingga ke Nusantara. Semua bumi yang dipijak oleh para pemimpin bersama Islam yang memerintah, diterima rakyat kerana keadilan, akhlak yang mulia dan kebijaksanaannya menaungi rakyat, bukan menjajah dan memaksa rakyat.

Cahaya Islam tidak boleh dipadamkan sehingga kini. Walaupun kuasa politiknya dijatuhkan, namun kesannya masih ditanam ke dalam hati sanubari sejahil-jahil umat Islam.

Lihatlah betapa minoriti bukan Islam hidup aman damai di tengah masyarakat majoriti besar umat Islam seperti di Malaysia dan lain-lain, diterima menjadi rakyat walaupun berbeza agama, bangsa dan warna kulitnya. Bandingkan nasib minoriti umat Islam di tengah masyarakat bukan Islam di mana sahaja, walaupun satu bangsa dan satu bahasanya.

Sehingga kini Islam sudah ada model dalam sejarahnya, namun dihalang bangkit kembali semula di mana sahaja. Semua ideologi dan teori lain belum nyata modelnya yang berpijak di bumi nyata, kerana tetap menemui kegagalan dalam mendapatkan kuasa yang kuat.

Kami tidak berhajat kepada pengajaran sejarah lain yang jauh daripada petunjuk Allah bernama Islam ini, sama ada sebelum Masihi atau selepas Masihi, termasuk negara yang dikatakan bertamadun yang dilihat bangunannya sahaja tanpa melihat berapa ramai rakyat dikorbankan di bawah bangunan istana dan kota yang didirikan. Begitu juga tokoh sejarah yang separuh matang dan mentah di jalanan yang melaporkan para pemimpin dan segala tokohnya yang dipuja seperti Tuhan, walaupun ditutup kezaliman, namun terbocor juga bersama lambang kezalimannya.

Kami mempunyai sejarah para anbia’ dan aulia’ yang dilaporkan oleh Al-Quran yang kami yakin akan kebenarannya. Laporan berdasarkan ilmu dan akal yang bijaksana serta berpandukan hidayah yang dinyatakan secara ilmu yang benar, adil dan bijak.

Namun sejarah ini dihapuskan segala monumen kota, istana dan bangunannya. Maka tiada peninggalan monumen sedikit pun di atas muka bumi dan dunia yang diperintahnya. Tiada istana Kota Nabi Daud A.S, Nabi Sulaiman A.S dan Raja Zulkarnain yang menakluk dunia.

Apa yang ada adalah monumen kerajaan yang zalim, matinya tanpa bertaubat. Ditinggalkan monumennya untuk dilihat oleh para pelancong, seperti Taman Bergantung Raja Namrud yang menegakkan Kerajaan Babylon, Piramid Firaun, kota-kota dan stadium peninggalan Rom Greek, Tembok Besar China, patung-patung di India dan seumpamanya.

Firman Allah :

تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُم مَّا كَسَبْتُمْ وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ (134)

“Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; Dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan”. (Surah Al-Baqarah: 134)

Elemen-elemen salah laku yang diulangi sebutannya hanya untuk menjadi alasan, seperti mengadu kesakitan yang berulang kali tanpa mencari ubat yang mujarab (berjaya dicuba).

Sepatutnya bukan sekadar membalas dendam sahaja, tetapi ditegakkan prinsip dan konsep ‘Rule of Law’ dahulu dengan peristiwa baru yang menjadi elemen diperkenalkan konsep kedaulatan undang-undang supaya meneladani tindakan Rasulullah S.A.W. yang tidak menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang bertaubat pada masa Fathu Makkah. Walaupun jenayahnya membunuh bapa saudara kesayangannya, Hamzah bin Abdul Muttalib dan berpuluh lagi daripada keluarganya yang berjuang Islam serta para sahabat kesayangannya R.A. yang lebih ramai dan lebih dahsyat daripada peristiwa Memali dan lain-lain.

Masih kecil untuk dibandingkan apa yang dialami oleh para pemimpin dan ahli-ahli PAS yang terdahulu, yang beristiqamah dan sangat setia kepada perjuangan sehingga akhir hayat, mati dalam keadaan tidak meninggalkan perjuangan atau melompat ke arah pokok yang kelihatan lebat buahnya. Bukan juga yang lari menjadi semut yang diam di dalam gula atau tikus yang kelu bersembunyi dalam timbunan padi dan beras, yang bersuara sekali sekala dalam kekenyangan, bukannya perjuangan.

Kemenangan Islam berbeza dengan kemenangan Revolusi Perancis yang menjadi kebanggaan golongan Liberal dan berbeza dengan kemenangan Revolusi Komunis Soviet dan China yang menjadi kemenangan golongan Sosialis.

Kemenangan Islam itu menegaskan akan janji benar daripada Allah kepada Rasul-Nya dan janji Rasul kepada umatnya. Janji benar yang menjadi sifat wajib bagi Rasulullah S.A.W. yang ditegaskan oleh firman Allah yang benar-benar berlaku:

وَلَقَدْ سَبَقَتْ كَلِمَتُنَا لِعِبَادِنَا الْمُرْسَلِينَ (171) إِنَّهُمْ لَهُمُ الْمَنصُورُونَ (172) وَإِنَّ جُندَنَا لَهُمُ الْغَالِبُونَ (173)

“Dan demi sesungguhnya telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul. (171); Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan. (172); Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran”. (173) (Surah As-Shoffaat: 171-173)

Firman Allah:

لَّقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا (27) هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا (28)

“Demi sesungguhnya Allah tetap menyatakan benar Rasul-Nya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; Iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram Insya-Allah (pada masa yang ditentukan-Nya) dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu; dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar semula dari situ). (Allah menangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Dia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunya). (27); (Allah yang menyatakan itu) Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad S.A.W.) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain; Dan cukuplah Allah menjadi saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh Rasul-Nya itu)”. (28) (Surah Al-Fath: 27-28)

Al-Quran adalah petunjuk mukjizat yang diimani oleh penganut Islam yang beriman dan budiman di sepanjang zaman. Maka yang layak mewarisinya, hanya parti yang menganut dan memperkasakan bangsanya bersama Islam. Bukan untuk parti yang tidak berbangsa atau tidak berjiwa bangsa serta tidak berakidah dan berakhlak Islam. Termasuk mereka yang tidak berwala’ kepada Allah dan Rasul, serta orang-orang yang beriman bagi mengejar kemenangan. Maka Allah mengarahkan Rasulullah S.A.W. supaya mengajak bangsanya bersama Islam dahulu menjadi akidah perjuangan, bukannya mencari rakan yang tidak beriman dan budiman.

Firman Allah:

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (215) فَإِنْ عَصَوْكَ فَقُلْ إِنِّي بَرِيءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ (216) وَتَوَكَّلْ عَلَى الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ (217)

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. (214); Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. (215); Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepada-Mu, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan”. (216); Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, Lagi Maha Mengasihani. (217). (Surah As-Syua’ra’: 215-217)

Kalau yang memimpin itu Islam, jika zalimnya sekurang-kurangnya menjadi gembala lembu. Tetapi kalau yang memimpin itu bukan Islam walaupun paling baiknya, boleh menjadi pekerja apa sahaja tanpa batas halal dan haramnya yang berakhir dengan neraka juga.

Maka ‘Rule of Law’ berpandukan petunjuk Allah sahaja yang menjadi penyelamat negara dan semua bangsa, berslogankan Islam itu adil untuk semua kerana datangnya daripada Allah Pencipta Alam Semesta, di samping kesempurnaan sifatnya dan sistem kehakimannya yang berpaksikan akidah yang menjadi rohnya yang tidak selengkap undang-undang ciptaan manusia.

Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (58)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil (dengan hukum Allah). Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (Surah An-Nisa’: 58)

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 2 Jamadil Awal 1440H / 8 Januari 2019M