Home Berita PAS Terengganu

RMK13: Wajar fokus sektor berimpak tinggi Pantai Timur- Amzad

7
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menzahirkan penghargaan atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri hari ini, namun dalam masa sama menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa keutamaan pembangunan yang tidak diberi perhatian sewajarnya, khususnya di Pantai Timur.

Menurut beliau, antara kekecewaan utama ialah ketiadaan sebarang pengumuman berhubung projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menghubungkan Gemuroh, Terengganu ke Kelantan, meskipun ia pernah diumumkan sebelum ini sebagai projek infrastruktur penting.

“Setiap kali musim perayaan, pengguna dari Kelantan ke Kuala Lumpur terpaksa menempuh kesesakan teruk sebelum sampai ke Gemuroh. LPT3 sepatutnya menjadi keutamaan untuk mengurangkan beban perjalanan rakyat dan memacu sambungan antara negeri secara lebih efisien,” tegas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang keperluan kerajaan memberi fokus yang lebih menyeluruh terhadap sektor berimpak tinggi di Pantai Timur seperti tenaga boleh diperbaharui, pelabuhan perindustrian dan teknologi hijau, bukan sekadar menumpukan kepada sektor pertanian semata-mata.

“Memang benar pertanian penting untuk sekuriti makanan negara, tetapi ia tidak cukup untuk mengangkat negeri seperti Terengganu dan Kelantan keluar daripada kelompok yang rendah sumbangan kepada KDNK negara,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan hab tenaga boleh diperbaharui di Terengganu yang pernah diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.

Begitu juga dengan peranan strategik Pelabuhan Kemaman yang dijangka menjadi kawasan pertumbuhan baharu apabila disambungkan dengan spurline ECRL, namun tidak disebut dalam pembentangan.

“Malah, inisiatif berkaitan Carbon Capture and Utility Storage (CCUS) yang sebelum ini dibawa oleh Kementerian Ekonomi dan dikatakan mampu merancakkan pelaburan berimpak tinggi juga tidak dijelaskan. Sama juga halnya dengan potensi eksploitasi mineral nadir bumi – semuanya senyap tanpa penjelasan dalam RMK13,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa peluang pekerjaan bernilai tinggi perlu diperluas di Pantai Timur, memandangkan modal insan dari rantau tersebut sering membuktikan kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Tanpa sektor high-tech dan berpendapatan tinggi yang mampu menampung graduan tempatan, rakyat kita tiada pilihan selain berhijrah ke luar negeri. Sektor pertanian yang tidak diautomasikan hanya mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja asing,” katanya.

Beliau berharap segala keperluan mendesak yang diketengahkan dapat dipertimbangkan secara serius dalam pelaksanaan RMK13 demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif.