Home Berita PAS Terengganu

RMK13; 10 Projek berkeperluan tinggi untuk Terengganu

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu menegaskan keperluan segera meluluskan 10 projek mega dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan Pertama (RP1) yang disifatkan sebagai projek kritikal demi keselamatan rakyat, kelestarian alam sekitar dan kelancaran pembangunan ekonomi negeri.

Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata, projek-projek tersebut bukan bersifat kemewahan tetapi merupakan keperluan mendesak untuk menangani isu rakyat termasuk hakisan pantai, banjir, masalah kesihatan awam, bekalan air serta kemudahan infrastruktur strategik.

“Antara projek utama disenaraikan ialah Pengawalan Hakisan Pantai Rusila, Marang (RM144.85 juta), Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buaya, Kuala Nerus (RM247.97 juta), pembinaan Blok Tambahan Hospital Besut (RM500 juta), penggantian Paip Air Submarin ke Pulau Redang (RM150 juta) dan Jalan Baharu KT-Bypass ke FT14 (RM231.12 juta).

“Turut dimohon ialah RTB Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu (RM147.66 juta), naik taraf FT03 di Setiu (RM231.84 juta), Sistem Saliran Mesra Alam Kampung Mak Chili, Kemaman (RM29.90 juta), pembinaan Jambatan Baharu Pulau Kekabu, Marang (RM6.90 juta) dan naik taraf Stadium Hoki Kuala Terengganu (RM7.90 juta),” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri berkata demikian ketika dihubungi pada semalam.

Menurut Hanafiah, kelulusan projek ini amat penting bagi mengurangkan risiko bencana seperti banjir dan hakisan pantai kritikal, meningkatkan akses kesihatan di Besut, menyelesaikan masalah air di Redang.

Selain itu, ia menyokong pertumbuhan ekonomi melalui jaringan jalan raya yang lebih selamat dan efisien.

“Terengganu adalah penyumbang utama hasil negara melalui industri minyak dan gas. Namun, kelulusan projek dan peruntukan sering berdepan kelewatan,” ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan PMX, memberi keutamaan penuh terhadap 10 projek ini demi kesejahteraan rakyat

Hanafiah turut menzahirkan kebimbangan apabila Terengganu hanya terlibat dalam enam daripada keseluruhan 122 strategi yang digariskan dalam RMK-13, meskipun negeri ini memainkan peranan besar dalam menjana hasil negara.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan perancangan pembangunan antara negeri.

“Terengganu wajar diberi manfaat setimpal dengan sumbangannya agar pembangunan lebih adil dan seimbang dapat dicapai,” jelasnya.