KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa keutamaan pembangunan di Pantai Timur yang tidak diberi perhatian sewajarnya ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), baru-baru ini.
Antara contoh katanya, melibatkan penyediaan infrastruktur iaitu pembangunan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang masih belum mendapat perhatian sepatutnya walaupun telah dibincang sejak RMK terdahulu.
“Memang kosnya besar tetapi berbanding dengan projek-projek tertentu yang dibawa ke Pantai Barat, di Pulau Pinang umpamanya ternyata terdapat ketidakseimbangan pembangunan antara Pantai Barat dan Pantai Timur.
“Saya tidak ada masalah dengan Pulau Pinang, mereka adalah rakyat Malaysia yang berhak untuk mendapat projek-projek pembangunan.
“Sedangkan apa yang diperjuangkan oleh kami dahulu adalah untuk ‘sharing of prosperity’ di kalangan rakyat seluruh negara supaya tidak ada negeri-negeri atau kalangan rakyat yang tertinggal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyifatkan pembentangan RMK-13 agak mengecewakan kerana Kerajaan Persekutuan tidak mengambil peluang sepenuhnya untuk memperbetulkan kelemahan-kelemahan yang ada dalam perancangan RMK sebelum ini.
“Secara lebih mendalam saya akan bahaskan RMK-13 pada minggu hadapan di Dewan Rakyat, tetapi secara umumnya saya boleh sebutkan bahawa apa yang dibentangkan itu agak mengecewakan.
“Walaupun perkataan itu agak pedas, tapi rasa agak mengecewakan kerana sepatutnya RMK13 menjadi medan untuk memperbetulkan pelbagai kelemahan termasuk dari sudut pelaksanaan yang sering menjadi isu dalam RMK sebelum ini,” katanya.