Home Berita PAS Terengganu

RM314,000 Sumbangan zakat untuk 628 pelajar baharu UMT

32
SHARE

KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengagihkan sumbangan zakat sebanyak RM314,000 kepada 628 pelajar asnaf baharu yang mendaftar pada sesi akademik 2023/2024.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, setiap pelajar terpilih daripada program Asasi STEM, Diploma dan Sarjana Muda menerima RM500 seorang sebagai bantuan memulakan pengajian di UMT.

“Dana zakat tersebut adalah sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui skim potongan gaji kakitangan UMT, Etiqa Family Takaful Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Rakyat.

“Kesemua sumbangan dan agihan ini diuruskan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud UMT melalui skim bantuan zakat kecemerlangan kepada pelajar dalam kalangan asnaf fakir dan miskin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas UMT, semalam.

Menurut Dr. Mazlan, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban pelajar dan sebagai tanda keprihatinan UMT kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

“UMT sangat peka terhadap nasib pelajar asnaf dan berusaha membantu mereka yang memerlukan, dengan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini, pelajar yang ditawarkan peluang pengajian juga mungkin resah untuk membuat persediaan pendaftaran pengajian.

“Kita telah laksanakan beberapa inisiatif sebelum ini melalui Pusat Islam Sultan Mahmud UMT dengan mengadakan  kempen sistem potongan zakat ‘Cukai Kepada Zakat’ (C2Z) yang diperkenal beberapa tahun dahulu dan akhirnya membuahkan hasil dan dengan adanya inisiatif itu, kita dapat bantu asnaf pelajar melalui sumbangan zakat,” ujarnya.

Katanya, kecaknaan warga UMT dalam membantu asnaf patut dipuji kerana jumlah kutipan zakat meningkat saban tahun.