KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM30.8 bilion perbelanjaan pembangunan untuk negeri Johor, Selangor dan Pahang dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) berbanding hanya sekitar RM4.2 bilion sahaja untuk Terengganu.
Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS), Mohd Eikhwan Ali berkata, jumlah itu merangkumi 49.3 peratus daripada jumlah keseluruhan RM62.5 bilion bagi perbelanjaan untuk negeri-negeri di Semenanjung Malaysia setakat ini.
Selain itu katanya, Johor, Selangor, Perak dan Pahang juga merupakan antara negeri yang merekodkan jumlah terimaan tertinggi pelbagai pemberian oleh Kerajaan Persekutuan.
“Justeru, tidak hairanlah negeri-negeri ini mempunyai infrastruktur pengangkutan, utiliti dan komunikasi yang jauh lebih baik berbanding negeri-negeri lain.
“Negeri-negeri ini juga mendapat kelebihan perdagangan daripada pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pulau Pinang serta KLIA, KLIA2, Senai International Airport dan Penang International Airport ditambah pula dengan jaringan lebuh raya yang menghubungkan dengan banyak destinasi.
“Kemudahan-kemudahan ini sangat penting untuk kemampanan ekonomi sesebuah negeri terutamanya dalam merapatkan jurang jarak, masa dan kos untuk perbekalan bahan mentah dan manarik pelaburan asing untuk mempercepat pembangunan dan menambah peluang pekerjaan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Jelas Mohd Eikhwan, landskap negeri-negeri berkenaan juga sangat berbeza dengan Terengganu yang tiada lapangan terbang dan pelabuhan bertaraf antarabangsa manakala Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 juga hanya menghubungkannya dengan Pahang dan Selangor serta KL.
“Setelah 68 tahun sejak Rancangan Malaya Pertama diperkenalkan, saiz ekonomi Terengganu sekarang hanya 2.5 peratus daripada saiz ekonomi negara.
“Terbukti, betapa terpinggirnya negeri ini sejak dahulu. Tidak mudah untuk membawa keluar negeri ini daripada keterpinggiran ini lebih-lebih lagi oleh Kerajaan Negeri yang baru memasuki penggal kedua,” jelasnya.
Walau bagaimanapun ujar beliau, berdasarkan data, Terengganu mencatatkan peningkatan lebih baik dalam kadar pertumbuhan ekonomi berbanding negeri maju lain terutamanya selepas pemulihan ekonomi pasca-pandemik Covid-19 pada 2021, meskipun masih belum mampu menyaingi negeri-negeri maju yang memiliki belanja pembangunan yang tinggi.
“Di Semenanjung Malaysia, negeri-negeri yang boleh disifatkan sebagai maju seperti Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang mempunyai KDNK yang besar.
“Ini antaranya adalah disokong oleh populasi yang besar atau oleh perbelanjaan pembangunan besar diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan,” ujarnya.