KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.33 juta tahun ini bagi mengurus dan mengoperasikan Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang, sebagai langkah nyata membantu golongan orang kurang upaya (OKU) keluar dari kepompong simpati dan bergerak ke arah kehidupan yang lebih berdikari.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, dasar OKU dengan pelan tindakan tersendiri bertujuan membuka ruang ekonomi dan kerjaya untuk golongan ini, termasuk dalam sektor kerajaan dan swasta.
“Kita bukan sekadar buat dasar, tapi turut sediakan strategi agar OKU ada tempat dalam sektor awam dan swasta, terutama melalui dasar satu peratus pengambilan kerja,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut Maliaman, peruntukan RM1.33 juta itu adalah untuk memastikan pengurusan Bengkel Pemulihan Kebajikan berjalan lancar di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu.
“Ini bukan bantuan kosong, ini pelaburan untuk hidup mereka,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah mengadakan beberapa Seminar Advokasi Kesedaran Kerjaya, khususnya bagi membantu OKU dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah arus perdana.
“Kita nak pastikan anak-anak OKU ni tak terperangkap dalam sistem yang lupa pada potensi mereka,” katanya lagi.
Selain itu, katanya, Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM450 sebulan turut disediakan bagi OKU yang bekerja dan mempunyai majikan, sebagai insentif agar mereka kekal aktif bekerja tanpa hanya bergantung kepada bantuan kerajaan.
“Bukan semua perlu disuap, ramai OKU sebenarnya nak bekerja, cuma mereka perlukan ruang dan pengiktirafan,” ujarnya.