Home Berita PAS Terengganu

Ringgit jatuh ke paras terendah, KDNK lemah, rakyat semakin sukar

76
SHARE

Semalam ringgit jatuh ke paras terendah dalam 26 tahun iaitu 4.728 berbanding dollar Amerika Syarikat. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lalu pula hanya berkembang pada kadar 3.8 peratus, iaitu gagal mencapai sasaran 4 hingga 5 peratus seperti yang diunjurkan sebelumn ini.

Jumlah dagangan Malaysia juga terus menjunam pada Disember tahun lalu apabila merekodkan kemerosotan untuk bulan ke 10 berturut-turut sejak Mac 2023. Jumlah dagangan negara pada Disember 2023 menurun 4.3 peratus kepada RM225.1 bilion, berbanding RM231 bilion pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, bermula pada tahun ini rakyat akan semakin terbeban dengan kenaikan cukai SST dan cukai-cukai baharu seperti Cukai Barangan Bernilai Tinggi pada kadar antara 5 hingga 10 peratus dan Cukai Barangan Bernilai Rendah yang dijual di atas talian pada kadar 10 peratus.

Ini tidak termasuk kenaikan tarif elektrik bermula Januari 2024 dan penarikan balik subsidi pukal yang akan dilaksanakan pada tahun ini. Semua ini pastinya akan memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

Selain itu, rungutan rakyat mengenai kekurangan beras tempatan di pasaran yang berlarutan sejak sekian lama seolahnya tidak diendahkan lagi oleh kerajaan. Tinjauan saya di beberapa tempat mendapati rakyat masih sukar memperolehi beras tempatan walaupun sepatutnya 70 peratus bekalan beras adalah beras tempatan.

Sasaran menoktah kemiskinan juga umpama menanam tebu di bibir. Ia masih gagal menjadi kenyataan.

Walaupun kerajaan berbangga dengan kadar inflasi yang menurun, ia tidak membawa apa-apa makna kerana penurunan kadar inflasi adalah disebabkan oleh permintaan yang lemah dan kuasa beli rakyat yang semakin menurun.

Semua ini adalah realiti yang sedang dihadapi oleh rakyat. Sudah lebih setahun Kerajaan Madani memerintah, kehidupan rakyat semakin sukar.

Setakat ini saya tidak nampak Perdana Menteri mampu untuk memberikan penyelesaian yang tuntas kepada permasalahan rakyat yang kian meruncing ini. Beliau nampaknya lebih sibuk memastikan musuh-musuh politik ditindas daripada menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.

Bertabahlah rakyat Malaysia.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Pengerusi
Perikatan Nasional
23 Januari 2024