KUALA TERENGGANU – Pekerja penghantar makanan (rider) ‘E-Hailing’ wajar dianggap sebagai ejen dakwah berikutan perkhidmatan mereka adalah secara langsung bersama masyarakat .
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata rider turut berpeluang membuat kebaikan seperti kategori pekerja di bahagian lain.
“Penghantar makanan juga adalah mad’u (sasaran dakwah) dan da’ie (pendakwah) walaupun hanya dengan senyuman bagi gambaran kebaikan Islam.
“Selain itu, kita turut mencadangkan agar mereka menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) bagi wujudkan hubungan langsung dengan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Semarak Dakwah E-Hailing di Dataran Berbumbung Syahbandar, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Program tersebut dianjurkan Instoitut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) menghumpulkan sekitar 70 orang rider sebagai salah satu sasaran dakwah mereka.
Dalam pada itu, seorang penghantar makanan, Mohd Fadhli Sidek, 43, menzahirkan penghargaan terhadap kerajaan negeri kerana cakna terhadap golongan pekerja tersebut.
“Saya mula menjadi seorang penghantar pesanan sejak Disember 2020, sebelum ini bekerja sendiri sebagai peniaga.
“Program seumpama ini sangat baik buat para rider kerana ruang penerangan dakwah turut diberikan,” tambahnya.
Fadhli turut menjadi penerima tunggal sebuah motosikal apabila kenderaannya bagi menghantar pesanan pelanggan rosak setelah hampir 30 tahun berbakti.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi WaN Abdullah, Pengarah i-MITS, Kamaruzzaman Abdullah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said.
Program Semarak Dakwah bersama rider E-Hailing itu turut dilengkapkan dengan sesi taklimat caruman oleh PERKESO serta agihan pek makanan asas buat para rider.