KUALA TERENGGANU – Rezeki tidak pernah salah alamat. Itulah yang berlaku pada seorang warga emas apabila menerima tawaran mengerjakan umrah dari penganjur program permotoran RXZ Members 6.0 yang berlangsung di Terengganu baru-baru ini.
Ismail Abdullah, 68 atau lebih dikenali sebagai Paksu Tomoi tular di media sosial kerana komitmennya yang tinggi menyertai program tersebut walaupun sudah berusia malah sanggup menempuh perjalanan jauh dari Kuala Ketil, Kedah.
Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, penghargaan itu dengan kerjasama Syarikat Hashwat Alharamayn & Tours khas bagi menghargai Paksu Tomoi diatas kesungguhan merentas perjalanan dua hala hampir 1,000 kilometer (km) dari Kedah.
“Biarpun sudah berusia, Paksu Tomoi sanggup datang ke Terengganu bersama RXZ kesayangannya bagi menyokong program yang dianjurkan sejak RXZ Members 1.0 berlangsung.
“Paksu adalah ikon permotoran RXZ dan menjadi idola untuk peminat motosikal ini atas semangatnya.
“Alhamdulillah, kita juga menerima pelawaan daripada sebuah syarikat agensi pelancongan yang berbesar hati menawarkan pakej umrah kepada beliau sebagai penghargaan buatnya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Hadiah tersebut disampaikan wakil pengurusan dan agensi pelancongan tersebut di kediaman Paksu di Kuala Ketil, Kedah, baru-baru ini.
Mohamad Faizal berkata, Paksu dijadualkan mula berangkat mengerjakan umrah pada 20 November depan.
“Masa beri hadiah pakej umrah itu, mata Paksu nampak ‘berkaca’, seolah-olah terharu dan sebak dengan penghargaan yang kita berikan.
“Kita harap apa yang kita berikan kepada Paksu ini dapat memberikan kegembiraan dan Paksu sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik,” ujarnya.
Sebelum ini, rakaman video tular memaparkan warga emas berserban menunggang motosikal Yamaha RX-Z untuk menyertai program RXZ Members 6.0 yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak mendapat perhatian pengguna media sosial.
Rata-rata dalam kalangan mereka memuji kesungguhan lelaki tersebut kerana dalam masa yang sama turut singgah ke masjid untuk menunaikan solat bersama kumpulan anak muda yang berkongsi minat yang sama.
Program RXZ Members 6.0 yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada September lalu menarik penyertaan lebih 80,000 peserta dari seluruh negara.