KUALA TERENGGANU – Restoran bukan Islam dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan.
Menurut Kenyataan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), namun begitu pengusaha dan pemilik perniagaan makanan dan minuman bukan Islam diberi peringatan agar tidak membenarkan pelanggan beragama Islam makan serta minum di premis mereka sepanjang siang hari Ramadan.
“Manakala bagi pengusaha dan pemilik perniagaan makanan serta minuman beragama Islam tidak dibenarkan memulakan operasi perniagaan mereka sebelum jam 3 petang.
“Mana-mana pengusaha dan pemilik perniagaan makanan dan minuman yang gagal mematuhi peraturan ini menjadi satu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (Penubuhan Makanan) MBKT 1991.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenankan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan tersebut, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu, kedai kek, bakeri dan kedai keropok serta restoran milik peniaga Islam dibenarkan beroperasi bermula jam tiga petang dengan aktiviti jualan hanya secara bungkus sahaja.
“Manakala untuk penggunaan ruang makan serta aktiviti penyediaan makanan dibenarkan beroperasi pada jam 7 petang.
“Kedai serbaneka mengikut waktu operasi biasa dan dihadkan kepada aktiviti peruncitan sahaja.
“Manakala bazar Ramadan serta kedai jualah kuih muih untuk aktiviti jualan secara bungkus akan bermula jam 3 petang,” ujar kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, untuk kedai makanan segera pula dibenarkan beroperasi pada jam 12 tengah hari dan hanya melibatkan aktiviti jualan secara bungkus sahaja.