Oleh: ‘ATIQAH ADAM
Kemodenan dan teknologi hari ini telah membawa negara kita kepada sebuah dimensi baru dalam dunia jenayah. Jika dahulu kita menyaksikan jenayah-jenayah dilakukan secara nyata dan fizikal, namun hari ini, saban waktu kita dikejutkan dengan pelbagai aktiviti jenayah yang dilaksanakan secara atas talian oleh golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab.
Salah satunya adalah jenayah digital. Menurut Muhammad Zaki Ibrahim (2002, Universiti Malaya) golongan yang melaksanakan jenayah secara atas talian ini dikenali sebagai pelaku e-jenayah. Kemudahan teknologi dan kecanggihannya telah membuka peluang untuk seseorang melakukan jenayah termasuklah perlakuan jenayah kepada individu, organisasi, kerajaan atau harta benda orang lain.
Antara jenayah yang dilakukan oleh pelaku e-jenayah ini termasuklah serangan ke atas sistem komputer, merancang kegiatan keganasan, penyebaran fitnah dan maklumat palsu, penipuan kewangan atau lebih dikenali sebagai scammer (penipu) dan sebagainya. Hampir setiap hari ada sahaja berita dan laporan polis yang dibuat oleh orang awam yang menjadi mangsa kepada pelaku e-jenayah ini.
Pemerkasaan terhadap undang-undang siber ini merupakan sebuah usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung jenayah digital. Undang-undang siber memainkan peranan dalam memastikan perlindungan kepada sistem maklumat, integriti sistem rangkaian komputer dan kebolehpercayaan dapat dikekalkan.
Salah satu akta penting yang membicarakan berkenaan dengan undang-undang siber di Malaysia ialah Akta Jenayah Komputer 1997 (Computer Crime Act 1997) yang telah menjelaskan matlamat untuk memerangi jenayah aktiviti komputer, jenayah siber dan jenayah yang berkaitan dengan penggunaan komputer.
Sebagai individu dalam kelompok sosial, setiap maklumat peribadi merupakan data sulit yang tidak boleh didedahkan secara semberono kepada orang lain. Masyarakat mestilah berhati-hati dan berwaspada terutama dalam mendedahkan data yang sulit khususnya seperti data perbankan dan media sosial.
Dalam kepayahan hidup mendepani Covid-19 ini, pelbagai pihak selalu menunggu kesempatan dan peluang untuk mendapatkan wang meskipun melalui cara yang salah dan bertentangan dengan undang-undang.
Masyarakat seharusnya lebih peka dan cakna agar tidak menjadi salah seorang mangsa kepada pelaku e-jenayah ini.
——————————————-
Penulis adalah anggota Timbalan Ketua, Kor Media dan Komunikasi, BRIGED MUSLIMAT NEGERI PAHANG.