Home Melaka

Rencana | Buli : Jangan sampai sekolah berasrama tidak lagi jadi pilihan

556
SHARE

Oleh IBNU JANIE

SEKOLAH berasrama dikaitkan dengan kecemerlangan. Sekolah berasrama penuh (SBP) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah tempat berkumpulnya pelajar-pelajar cemerlang dan terpilih atau dipanggil ‘krim’.

Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pula adalah SBP yang berada terus di bawah MARA. Ia tidak ditadbir oleh KPM.

Ada juga sekolah-sekolah yang dipanggil sekolah asrama harian. Walau pun tidak sehebat SBP, namun asrama harian juga dikaitkan dengan program-program khas bagi pelajar-pelajar yang cemerlang tetapi gagal menempatkan diri ke SBP atau MRSM.

Pendek kata sekolah berasrama ini sepatutnya menjadi sebuah institusi yang dihormati oleh masyarakat kerana fungsinya dalam membina generasi intelek masa depan.

Namun begitu, kejadian-kejadian buli yang banyak berlaku memberikan imej buruk kepada sekolah-sekolah berasrama ini. Pendedahan satu kejadian buli yang berlaku di sebuah MRSM melalui satu video yang tular baru-baru ini menambah kebimbangan kepada ibu bapa.

Sebenarnya pada masa ini memang terdapat ramai ibu bapa terutama yang daripada golongan pertengahan dan mampu yang mula tidak mengharapkan anak-anak mereka yang cemerlang untuk belajar di sekolah-sekolah berasrama lagi walaupun SBP atau MRSM.

Malah ramai antara golongan ini yang penulis jumpa yang memasukkan anak-anak mereka yang cemerlang dalam pelajaran ke sekolah-sekolah harian biasa. Menariknya mereka tetap berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM.

Walau pun SBP menjanjikan pelajar-pelajar ini akan duduk di dalam kumpulan yang semuanya pandai-pandai belaka, namun itu tidak dapat mengatasi kebimbangan mereka terhadap keselamatan anak-anak mereka semasa di asrama.

Isu ini memang sesuatu yang dekat di hati penulis. Semasa penulis ditawarkan sebagai pensyarah di sebuah kolej di bawah MARA dahulu memang kami perlu menerima pelantikan itu bersama jawatan sebagai warden asrama. Jadi penulis ada lesen untuk bercakap soal ini.

Penulis ingat lagi pada masa itu pensyarah-pensyarah baharu diwajibkan menjadi warden kerana pensyarah-pensyarah senior tidak mahu menjadi warden. Jadi warden menjaga pelajar di asrama bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi untuk pelajar-pelajar diploma yang sudah menginjak dewasa.

Baru-baru ini pun ada cadangan agar ada jawatan khas warden asrama yang disarankan untuk diisi bekas tentera atau polis. Penulis menyokong penuh cadangan ini. Ia bukan sesuatu yang ekstrem.

Kita perlu mengambil kira perkembangan semasa dengan kecenderungan pelajar-pelajar pada masa ini yang bukan sekadar menjadi ‘taiko’ asrama atau sekolah. Malah ada di antara mereka yang mempunyai hubungan dengan rangkaian gengster di luar sekolah.

Ini bukan perkara main-main dan bukan sengaja diperbesar-besarkan. Ini realiti! Mereka mungkin anak atau adik kepada gengster dan kongsi gelap yang berbahaya. Ini harus diambil perhatian oleh pihak berkuasa. Mereka sudah tidak takut kepada guru-guru yang menjadi warden.

Dan yang paling penting sudah tentu tindakan tegas harus diambil terhadap pembuli-pembuli ini. Tindakan perlu lebih tegas agar ia menakutkan.

Kerap kali kita akan berasa simpati apabila pembuli-pembuli ini diambil tindakan tegas. Penulis kerap mendengar dan melihat pihak atasan sendiri pula yang akan terlalu memikirkan bahawa pembuli-pembuli yang cemerlang akademiknya ini mempunyai potensi yang besar. Ia dikatakan akan merugikan masa depan mereka jika mereka dibuang sekolah. Situasi ini memang banyak berlaku.

Namun adakah pembuli-pembuli ini memikirkan tentang masa depan mereka sendiri? Mereka dipandang penting kerana mereka pelajar-pelajar pandai lalu dalam sesetengah situasi mereka diberi peluang kedua.

Lalu tiada pengajaran yang golongan ini dapat. Malah pembuli-pembuli lain akan berasa mereka juga akan selamat kerana mereka adalah golongan penting yang diperlukan negara.

Kita mahu melahirkan pelajar-pelajar yang cerdik, bukan sekadar pelajar yang pandai. Ada beza antara cerdik dan pandai. Ada orang pandai tetapi tidak cerdik. Orang cerdik tahu membezakan antara buruk dan baik juga antara betul dan salah.

Penulis bimbang jika isu ini tidak diatasi maka suatu masa nanti sekolah berasrama tidak akan lagi menjadi tarikan dan pilihan untuk pelajar-pelajar dan ibu bapa.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Editor Berita PAS Jabatan Penerangan PAS Pusat

Nota : Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak pada 17 Disember 2021.