HULU TERENGGANU – Seorang remaja berusia 17 tahun menerima Anugerah Wira Remaja selepas tindakan beraninya menyelamatkan lima kanak-kanak yang hampir lemas di Sungai Lerek, Ajil tahun lalu.
Erfan Mohd Zamri, pelajar Tingkatan Dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ajil, tidak teragak-agak terjun ke dalam sungai apabila melihat lima kanak-kanak berusia antara enam hingga sepuluh tahun bergelut untuk menyelamatkan diri selepas dihanyutkan arus deras.
“Sewaktu kejadian itu saya berada didalam rumah mendengar kakak saya memanggil untuk mendapatkan bantuan jadi saya berlari dan terjun ke sungai untuk membantu mangsa tersebut.
“Saya kebetulan berada rumah dan mendengar jeritan kakak yang menjerit memberitahu ada kanak kanak lemas.
“Saya terus berlari dan terjun ke dalam sungai tanpa berfikir panjang dan hanya fikir mahu menyelamatkan mereka,” kata Erfan ketika ditemui pemberita.
Menurut Nur Ainul Erisha, kakak kepada Erfan, kejadian berlaku sekitar jam 4.30 petang ketika kanak-kanak tersebut sedang bermain di tebing sungai sebelum salah seorang daripada mereka tergelincir ke dalam air.
Panik dengan keadaan itu, empat lagi rakannya cuba membantu tetapi turut dihanyutkan arus sungai.
Keberanian dan tindakan pantas Erfan mendapat pengiktirafan daripada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN AJIL serta pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau diraikan dalam Program Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK malam tadi yang diadakan di Dewan Serbaguna Yayasan Salim Tok Randok, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu itu, Maliaman Kassim yang menyampaikan anugerah tersebut turut memuji keberanian Erfan.
“Keberanian yang ditunjukkan oleh Erfan adalah sesuatu yang luar biasa. Kita memerlukan lebih ramai anak muda yang berjiwa besar dan sanggup berkorban untuk membantu orang lain.
“Saya berharap tindakan beliau menjadi inspirasi kepada rakan sebaya dan masyarakat secara keseluruhannya.
“Tindakan pantas dan keberanian Erfan telah menyelamatkan lima nyawa. Ini adalah contoh keberanian dan nilai kemanusiaan yang tinggi yang patut dicontohi oleh generasi muda,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah tersebut.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang pada 12 Disember lalu, lima mangsa terselamat daripada lemas ketika bermain dan mandi di sungai Lerek, Kampung Tok Randok.