Home Berita PAS Terengganu

Remaja 18 beradik sebak dapat baju raya

331
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja daripada 18 beradik, Mohd Amirul Najmie Nordin 13, sebak ketika meluahkan rasa gembira apabila menerima sumbangan baju raya di Mydin Mall Kuala Terengganu baru-baru ini.

Anak ke-16 itu terharu dan bersyukur atas sumbangan yang dijayakan bersama Epic Berhad, Iman Partner Consult dan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan.

“Saya tidak tahu bagaimana nak mengucapkan terima kasih kepada yang menyumbang.

“Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih sebanyak-banyaknya atas sumbangan baju raya ini. Ini benar-benar membantu saya dalam persiapan menyambut lebaran tahun ini,” katanya kepada pemberita semasa program Kasih Ramadan bersama Anak Yatim dan Asnaf.

 

Amirul, yang masih bersekolah tingkatan satu tinggal bersama keluarganya di sebuah rumah kecil di Kampung Bukit Jetit, Marang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menyatakan selain Amirul, ramai lagi golongan asnaf dan anak yatim yang menerima sumbangan berkenaan.

“Alhamdulillah, kita mengadakan program Kasih Ramadan, meraikan anak-anak yatim dan juga asnaf dalam DUN Pengkalan Berangan dengan memberi sumbangan pakaian raya kepada 144 orang penerima dengan peruntukkan RM150 seorang,” ujar beliau.

 

Sulaiman juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para penyumbang yang banyak membantu golongan kurang berkemampuan.

“Sumbangan ini ditaja oleh Epic Berhad, Iman Partner Consult dan PKM DUN Pengkalan Berangan. Terima kasih diucapkan kepada para penyumbang dan semua yang terlibat termasuklah pihak MYDIN yang turut mengambil bahagian dengan memberikan sumbangan beg untuk setiap seorang,” jelasnya.