KUALA TERENGGANU – Kerajaan digesa bertindak segera bagi membendung masalah dadah ‘magic mushroom’ menggunakan rokok elektronik atau vape yang kian parah dalam kalangan remaja belasan tahun.
Pengurus Pusat Pemulihan Dadah Holistik milik Terengganu, Alif Mahari berkata, beliau sedih melihat sorang remaja lelaki berusia 13 tahun dihantar ke pusat pemulihan Darul Barakah itu akibat ketagihan dadah tersebut.
“Dadah ini dilaporkan semakin menular dalam kalangan pelajar sekolah dan boleh menyebabkan gangguan mental yang serius jika digunakan secara berterusan selama setahun.
“Remaja tersebut memperoleh bahan terlarang ini daripada seorang pelajar senior perempuan di sekolahnya, yang mendapat bekalan daripada penjual vape yang mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan kesan buruk terhadap generasi muda.
“Dengan harga serendah RM1 untuk setitik, dadah ini mudah diakses oleh pelajar, menjadikannya ancaman serius kepada kesihatan mental mereka,” kata beliau di Facebook.
Mengulas lanjut, Alif berkata setelah dua minggu di Darul Barakah, remaja tersebut dipindahkan ke pusat lain kerana pusat Perkampungan Darul Barakah hanya menerima individu berusia 18 tahun ke atas.
Bertitik tolak daripada itu, beliau menggesa kerajaan untuk menarik balik lesen penjualan vape dan menutup semua operasi berkaitan.
“Mudaratnya lebih besar daripada manfaat dan jika dibiarkan berterusan, negara mungkin akan menghadapi situasi di mana setiap rumah mempunyai seorang penagih.
“Tindakan segera mesti diambil untuk melindungi masa depan generasi muda dan mengejar keuntungan tidak seharusnya mengorbankan masa depan anak bangsa,” tegasnya.