Oleh : Suziana Ghani
15 September 2020
KUDAT : Rehlah santai guru PASTI Pantai Barat Utara yang melibatkan guru PASTI kawasan Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Pitas telah berlangsung dengan jayanya di Pantai Bak-bak, di sini Ahad lepas.
Program ini dilaksanakan bagi mengeratkan ukhuwah sesama guru serta meraikan kehadiran Ustazah Norhayati Abdul Ghani, mantan jurulatih utama guru PASTI Sabah dan Sarawak.
Dalam ucapan perasmian, Abdul Samad Mohd Dahan, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Melaka mengingatkan guru-guru agar mendidik pelajar PASTI dari segi akhlak seiring dengan akademik.
“Guru juga perlu mengasah bakat pelajar agar berani ke depan supaya dapat menjadi bakal pemimpin pada masa akan datang,” ujarnya.
Antara acara menarik ialah sesi taujihat bersama Ustazah Norhayati yang juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka.
Ustazah Norhayati mengingatkan guru-guru agar sentiasa mencari reda Allah dengan menjaga amalan kerohanian dan ikhlas melakukan gerak kerja kerana Allah.
Turut hadir Mohamed Sharizan Md. Husain, pengerusi PASTI Kudat dan Norlizah Gurahman, Calon Bersatu N.4 Tanjong Kapor.