KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menegaskan perlunya reformasi terhadap sistem kerjasama antara negeri dan Persekutuan dengan mengamalkan konsep federalisme koperatif serta pembahagian hasil negara yang lebih adil.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, amalan seperti di negara-negara maju wajar dijadikan contoh agar pembangunan negeri tidak diikat oleh sentimen politik apabila kerajaan negeri dan Persekutuan berbeza ideologi.
“Dalam konteks ini, hasil petroleum adalah hak negeri yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, bukannya keistimewaan.
“Ia perlu dipulangkan sepenuhnya, dibayar tepat pada masanya dan disalurkan tanpa birokrasi yang melambatkan manfaat kepada rakyat, seperti yang berlaku sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibahaskan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen semalam, beliau mempersoalkan kedudukan Terengganu yang hanya dilibatkan dalam enam daripada 122 strategi keseluruhan.
“Angka ini menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Pantai Timur secara serius. Lebih membimbangkan, sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu hanya ditetapkan 4.8 peratus, jauh lebih rendah berbanding sasaran dalam RMK-12 dan unjuran kerajaan negeri sendiri iaitu 6.6 peratus menjelang 2030,” ujarnya.
Beliau turut mempertikaikan sasaran pertumbuhan sektor pertanian, perikanan dan akuakultur negeri yang hanya ditetapkan 1.1 peratus, sedangkan ia telah mencatat 7.4 peratus pada 2023.
“Ia langsung tidak mencerminkan kekuatan sebenar negeri yang terbukti berupaya mencapai prestasi tinggi dalam perikanan, akuakultur, tanaman dan penternakan. Negeri ini memerlukan projek dan peruntukan berimpak tinggi untuk melonjakkan ekonomi serta memberi kesan positif kepada seluruh Pantai Timur,” tegasnya.
Menurut beliau, projek strategik seperti Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT 3) dan pelaksanaan Economic Accelerator Project (EAP) di sepanjang jajaran ECRL Terengganu juga perlu dimulakan segera kerana mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.