Home Berita PAS Terengganu

Reformasi PBT bantu tarik pelabur

16
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa langkah untuk menambahbaik sistem pentadbiran dan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) demi melancarkan pembangunan setempat dan menarik pelabur.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara langkah yang dilaksanakan adalah menerusi digitalisasi perkhidmatan iaitu dengan memperkenalkan sistem dalam talian untuk memperkemaskan proses permohonan dan perkhidmatan lain bagi meningkatkan kecekapan dan penyampaian.

“Selain itu, melalui latihan dan pembangunan sumber manusia dengan memberikan latihan berterusan kepada pegawai PBT bagi memastikan mereka memiliki kemahiran dan pengetahuan yang terkini dalam pengurusan serta pengendalian hal ehwal masyarakat.

“Kita juga melakukan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan penduduk dengan mengadakan projek pembangunan infrastruktur yang memudahkan akses dan dapat menggalakkan pelaburan seperti pembangunan jalan, fasiliti awam, dan ruang niaga,” ujarnya ketika sesi soalan lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid yang ingin tahu apakah langkah yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri dalam menambah baik sistem pentadbiran dan perkhidmatan PBT bagi melancarkan pembangunan setempat, berjaya menarik pelabur dan memastikan penyelesaian masalah dengan lebih cekap.

Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada penyelesaian masalah secara proaktif dengan mengimplementasikan mekanisme maklum balas awam yang lebih baik untuk mengenal pasti masalah dengan cepat dan efisien, serta menyediakan penyelesaian yang sesuai.

“Di samping mendorong kerjasama dengan sektor swasta bagi membiayai projek pembangunan dan perkhidmatan yang dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat,” ujarnya.