KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan dasar dan pelan strategik negeri, khususnya di bawah Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) akan direalisasikan dengan tindakan konkrit.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menekankan bahawa pelaksanaan dasar dan pelan strategik itu bukanlah sekadar pelancaran tanpa hasil seperti yang disindir sesetengah pihak.
“Ada juga suara-suara kecil yang terpencil dengan sinis menyebut bahawa bermacam dasar dan perancangan strategik negeri telah dilancarkan. Tetapi, mananya pembangunan yang dibawa?
“Tak apalah, mungkin makna sebuah pembangunan pun mereka keliru. Mungkin ini juga maksud peribahasa Melayu, ‘agak lebih daripada agih’ – iaitu banyak bicara tetapi sedikit kerja.
“Yang penting, kita dengan berjiwa besar menjadikan sindiran mereka sebagai kata semangat untuk kita terus bekerja.
“Yang nyata apa yang kita jadikan dasar dan pelan srategik ini, semuanya sedang dilaksanakan dengan cermat, insya-Allah.” ujar beliau.
Samsuri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Dan Pelan Di Bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Tahun 2025, semalam.
Tambahnya lagi, pentadbiran negeri juga tidak mahu mengulangi kesilapan lalu apabila projek-projek terbengkalai menjadi ‘gajah putih’ akibat perbalahan dan dendam politik.
Naib Presiden PAS itu turut menyeru rakyat, penjawat awam, dan pelabur untuk memainkan peranan dengan sepenuhnya demi memastikan masa depan Terengganu untuk generasi akan datang.
“Sehebat mana pun dasar dan pelan yang dirancang, tetapi tanpa sokongan penjawat awam yang cekap, pelabur yang yakin dan rakyat yang menyertainya, ianya hanya tinggal sebagai dokumen yang cantik dalam bentuk ‘publication’ semata-mata.
“Idea yang mulia tidak akan hidup tanpa tindakan. Gerakkan ia, hidupkan idea-idea ini dan biarkan geloranya membina masa depan kita yang diimpi-impikan.
“Oleh yang demikian marilah kita sama-sama merealisasikanya agar anak-anak dan generasi akan datang di negeri ini dapat berbangga dengan kita,” pesannya.