RCI MEMALI – PAS SELANGOR MENGGESA PENUBUHANNYA DISEGERAKAN
PAS Selangor menggesakan agar Suruhanjaya Diraja @ RCI bagi menyiasat peristiwa berdarah Memali disegerakan. RCI ini penting bagi membongkar siapakah yang bertanggungjawab dalam pembunuhan Almarhum Ust Ibrahim Libya beserta beberapa orang penduduk tempatan di Kampung Memali, Mukim Siong Baling Kedah pada 19 Nov 1985. Peristiwa Memali ini berlaku semasa era pemerintahan Perdana Menteri yang ke 4 iaitu Tun Mahathir Mohamad.
PAS Selangor berpandangan sudah sampai masanya peristiwa berdarah ini dibongkar untuk mendapatkan gambaran sebenar kenapa, mengapa dan bagaimana peristiwa ini berlaku. Kami mengharapkan satu siasatan terpeinci untuk mengenalpasti siapakah dalang sebenar disebalik peristiwa berdarah ini dan menghadapkannya mereka yang bertangggungjawab ini ke muka pengadilan untuk diadili dengan sebaiknya.
Dalam masa yang sama, PAS Selangor meminta Kerajaan Malaysia untuk memohon maaf secara terbuka dan memberikan sejumlah pampasan kepada waris mangsa yang telah mengalami trauma, fitnah dan tekanan hidup akibat peristiwa ini.
PAS Selangor juga melahirkan rasa kecewa dan dukacita atas sikap lepas tangan pemimpin tertentu yang dikaitkan dalam peristiwa ini dan juga beberapa bekas pimpinan PAS yang seolah-olah kini telah menjadi perisai kepada pemimpin negara yang dikaitkan dengan peristiwa ini walaupun sebelum ini merekalah yang menjadi jurucakap mempertahankan rakyat Memali. Sekarang terserlahlah sikap talam dua muka mereka yang berselindung atas nama menegakkan keadilan untuk rakyat dan dalam masa yang bersekongkol dengan pimpinan yang terkenal menzalimi rakyat dalam sejarah pemerintahanya.
Sejahtera Bersama Islam
YB Ustaz Sallehen bin Mukhyi
Pesuruhjaya PAS Selangor
{jathumbnail off}