Oleh : Emi Zarina
15 April 2018 | Ahad | Kepala Batas
PAS Pulau Pinang beriltizam membawa satu pendekatan politik sejahtera dan kebajikan untuk semua.
Ini dapat dibuktikan dengan penganjuran program Rawatan Rumah dan Ramah (R&R) dengan kerjasama NGO Profesional Cakna Malaysia yang telah bermula sejak pelancarannya pada 4 Mac 2018 yang lalu sehinggalah hari ini 15 April 2017 di DUN Pinang Tunggal, Kepala Batas. R&R ini merupakan program pemeriksaan kesihatan percuma dari rumah ke rumah , yang mengambil kira pesakit-pesakit kategori terlalu uzur untuk bergerak keluar serta dari golongan misikin yang mempunyai kekangan kewangan untuk membuat pemeriksaan berkala di hospital-hospital kerajaan.
Program pemeriksaan kesihatan percuma ini bukan satu perkara yang baru bagi PAS, tetapi pada kali ini buat julung kalinya diadakan secara menyeluruh di DUN-DUN yang terpilih dari seluruh Pulau Pinang di bawah penyelarasan Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Pulau Pinang.
Majlis pelancaran telah diadakan pada 4 Mac bertempat di DUN Penaga, Kepala Batas dengan pelepasan empat orang doktor ke UPU-UPU yang terpilih. Majlis telah disempurnakan sendiri oleh Tuan Bukhori Hj Ghazali selaku Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Pulau Pinang.
R&R ini diteruskan jadualnya secara mingguan mengikut giliran DUN yang telah ditentukan dan akan diteruskan dari masa ke semasa.
Terdapat pelbagai respon dari pesakit yang diziarahi, kebanyakkan nya amat terkejut dengan kehadiran petugas PAS membawa doktor profesional untuk membuat pemerikasaan kesihatan secara percuma. Mereka amat terharu serta teruja dengan perkhidmatan yang telah diberikan tanpa mengira latar belakang politik mereka.
Pesakit juga menyatakan bahawa tidak pernah mana-mana pihak yang mengambil inisiatif sebegini rupa.
PAS akan meneruskan agenda kebajikan seperti ini di masa-masa akan datang dan jika berjaya mendapat mandat pemerintahan, agenda ini akan menjadi satu agenda utama dalam polisi kerajaan kerana agenda kesihatan rakyat merupakan salah satu keperluan asas yang menjadi hak rakyat di sesebuah negara.
Kawasan-kawasan yang telah dikunjungi pasukan R&R ini ialah DUN-DUN di Parlimen Kepala Batas, Tasek Gelugor , Permatang Pauh, Nibong Tebal, Batu Kawan, Balik Pulau dan Bayan Baru.
Sehingga hari ini hampir 300 orang pesakit telah menerima kunjungan pasukan RnR di seluruh Pulau Pinang.