Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Zurk Ahmad
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Langat
Sepanjang minggu yang lalu, kita dihidangkan dengan cerita panas yang tidak berkesudahan.
Dengan suhu politik negara yang sentiasa turun naik, jumlah kes positif COVID-19 dengan kehadiran varian baru yang semakin membimbangkan dan terbaru rakyat semakin teruja dengan titah DYMM Sultan Selangor mengenai kes rasuah.
Sebelum itu dilaporkan DYMM Sultan Sharafuddin idris Shah Alhaj telah berkenan terima mengadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan pada 5 Ogos yang lepas.
Baginda telah menzahirkan rasa bimbang terhadap kes rasuah yang meningkat terutama di negari Selangor dan sangat berharap agar SPRM dapat menjalankan siasatan yang telus dan teliti supaya pelaku rasuah tidak terlepas dengan mudah.
Apa yang menarik, titah baginda agar mereka yang dituduh melakukan perbuatan rasuah dan sedang diadili dimahkamah tidak dilengahkan dengan alasan yang pelbagai.
Rakyat sudah muak dan bosan kerana kes-kes rasuah terutama yang berprofil tinggi masih lagi belum diselesaikan. Ini boleh menimbulkan keresahan, kehilangan kredibiliti serta integriti dan mendatangkan rasa ketidakpercayaan rakyat terhadap institusi yang terlibat.
Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan adalah titah baginda Sultan Selangor dilihat seolah kena pada masanya apabila sebelum itu YAB Perdana Menteri telah dipetik sebagai berkata :
“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka. Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.”
Kita melihat seolah ada kemelut geng tertentu yang sedang mengatur strategi untuk mengelak atau melengahkan dakwaan ke atas mereka.
Rakyat yang waras sudah tentu optimis dengan berpegang kepada prinsip sesiapun tidak bersalah selagimana tidak dibuktikan dengan telus dan adil akan kesalahan mereka. Namun begitu, kita bimbang jika hal yang berkait dengan moral dan integriti pembesar dan pemimpin tidak diuruskan dengan baik.
Saya sangat bersetuju dengan titah KDYMM Sultan Selangor bahawa isu salah laku dan rasuah ini perlu dibendung segera supaya ia tidak membarah dan merosakkan generasi muda pada masa akan datang. Oleh itu, Tindakan tegas perlu diambil oleh pihak yang bertanggungjawab bagi membendung kelakuan tidak bermoral ini.
Sultan Sharafuddin sebelum ini menzahirkan dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di negeri itu yang terlibat dengan kegiatan rasuah.
Persoalannya, siapakan pegawai kerajaan di negeri Selangor yang dimaksudkan oleh baginda Sultan? Apakah hanya melibatkan pegawai kerajaan tanpa ahli politik yang memimpin negeri? Rakyat Selangor sudah tentu tidak mahu pemimpin politik yang mentadbir kerajaan negeri hari ini terpalit dengan salah laku yang boleh meruntuhkan organisasi pentadbiran.
Rakyat hari ini boleh mendapatkan maklumat yang berlegar di media sosial. Sejak tahun 2013, sebanyak 92 kes rasuah yang melibatkan pemimpin politik dan daripada jumlah tersebut tiada satu pun yang melibatkan parti PAS.
Kita perlukan pemimpin yang berintegriti, yang bebas rasuah, yang tidak pernah disabitkan dengan isu rasuah. Inilah pemimpin yang perlu diangkat oleh rakyat yang mengundi.
Kita perlukan pemimpin yang bebas rasuah dan mempunyai akhlak yang baik untuk memimpin rakyat ke arah kebaikan dan kehidupan yang diredhai oleh Allah.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor