Home Berita PAS Sabah

Rasuah ancam kesejahteraan rakyat

29
SHARE

Oleh NURUL HAZIMAH
22 November 2024

KALABAKAN: “Amalan rasuah kini menjadi ancaman serius kepada kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat,” kata Ketua Pemuda PAS Kalabakan, Razman Roslee.

Razman dengan tegas membantah sebarang bentuk amalan rasuah kerana bukan sahaja merosakkan sistem pentadbiran tetapi juga mencuri hak generasi akan datang untuk mewarisi sebuah negeri yang makmur, berdaya saing dan berintegriti.

Beliau menyokong kenyataan Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan Khamis lalu bahawa rasuah merupakan satu malapetaka besar kepada manusia yang boleh menyebabkan kerosakan dan menjadi barah yang sangat berbahaya kepada sistem pentadbiran.

Tambahnya, Islam mendidik para penganutnya bahawa harta haram itu bukan sahaja berdosa kepada semua yang digunakan olehnya, sehinggakan menjadi umpan neraka yang membakar dirinya.

Menurut Razman, rasuah hari ini adalah beban yang akan ditanggung oleh anak-anak kita kelak.

“Dana yang diseleweng adalah peluang yang dirampas yang mana peruntukan tersebut sepatutnya digunakan untuk membina sekolah, hospital, infrastruktur dan menyediakan peluang pekerjaan yang sepatutnya dinikmati oleh generasi akan datang.

“Amalan rasuah mencipta budaya negatif yang boleh menjadikan generasi muda kehilangan keyakinan terhadap sistem pentadbiran dan keadilan.

“Jika kita tidak bertindak tegas hari ini, kita bakal mewariskan sebuah negara yang penuh dengan ketidakadilan, ketirisan dan ketidaktentuan ekonomi,” katanya dalam kenyataan di media sosial Dewan Pemuda Kalabakan, kelmarin.

Beliau turut menegaskan dan menyeru agar penguatkuasaan undang-undang yang tegas, perlu diambil terhadap pelaku rasuah tanpa mengira kedudukan.

“Pendidikan anti rasuah untuk generasi muda perlu dititikberatkan agar mereka menjadi pemimpin yang amanah pada masa depan.

“Penyertaan aktif rakyat dalam memantau dan melaporkan kes rasuah di setiap peringkat juga amat perlu,” katanya.

Razman mengharapkan kepada generasi akan datang, jangan membiarkan rasuah menjadi warisan kepada anak cucu kita. Masa depan yang cerah hanya dapat dicapai jika kita memerangi rasuah dengan penuh komitmen dan keberanian.

Beliau menyeru, masyarakat bersama-sama membina masa depan yang bebas daripada rasuah, penuh dengan keadilan, integriti dan kepercayaan rakyat.

Menurutnya inilah tanggungjawab kita kepada generasi akan datang serta peringatan kepada semua pemimpin Muslim yang mempunyai sekelumit iman dalam jiwa.