Home Berita PAS Terengganu

Ramadan: Tetamu Allah yang ditarbiyah

170
SHARE

Setiap orang yang beriman sangat bergembira kerana dapat bersama dalam bulan Ramadan, sehingga banyak masjid diimarahkan. Di samping itu, dapat menunaikan ibadat puasa yang diwajibkan dengan janji pahala yang sangat besar sehingga berlipat gandanya terserah kepada Allah SWT.

Ganjaran bagi mereka yang berpuasa tidak sama sepertimana amal soleh lain, yang diberikan ganjaran sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Bahkan, mereka yang bercita-cita dan berniat sudah diberikan satu pahala, walaupun tidak kesampaian kerana ada halangan atau keuzuran. Beginilah kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman.

Adapun dengan kedatangan Ramadan ini, kita semua menjadi tetamu Allah SWT, bersama hidangan makanan jasad yang diisi ke dalam perut sewaktu bersahur dan berbuka dengan diberikan pahala dan keberkatan. Pada masa yang sama, adanya hidangan makanan akal dengan keinsafan diri mendapat ilmu agar dapat mengawal nafsu.

Hidangan paling mulia ialah hidangan roh yang menanamkan sifat taqwa yang menjadi kemuncak daripada pelaksanaan ibadat puasa. Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٨٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Kalian diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kalian, supaya kalian bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Taqwa ialah sifat yang ada dalam hati seseorang yang menjadikannya patuh kepada perintah Allah SWT, sama ada dalam mengerjakan perintah-Nya atau meninggalkan larangan-Nya dengan ketaatan secara mutlak. Selain itu, menyedari kehebatan sifat ketuhanan-Nya sehingga seseorang itu berhati-hati pada segala langkahnya dalam segala aspek urusan hidup di alam dunia.

Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA pernah bertanyakan Ubai bin Ka‘ab RA tentang hakikat taqwa. Ubai RA merupakan seorang alim yang diiktiraf oleh Allah apabila Rasulullah SAW diberitahu oleh malaikat Jibril supaya membaca Surah al-Bayyinah di hadapannya. Setelah dilontarkan pertanyaan tersebut, Ubai RA menjawab:

هَلْ أَخَذْتَ طَرِيقًا ذَا شَوْكٍ؟

“Adakah kamu pernah melalui jalan yang mempunyai banyak duri?”

‘Umar RA menjawab:

نَعَمْ.

“Ya, pernah.”

Ubai RA bertanya lagi:

فَمَا عَمِلْتَ فِيهِ؟

“Bagaimanakah kamu berjalan melaluinya?”

‘Umar RA menjawab:

تَشَمَّرْتُ وَحَذِرْتُ.

“Aku melangkah dengan penuh waspada dan berhati-hati.”

Ubai RA menegaskan:

فَذَاكَ التَّقْوَى.

“Itulah hakikat taqwa.” (Al-Qurtubi, Tafsir al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, jld. 1, ms. 161-162)

Perkara yang dinyatakan di atas menunjukkan seseorang yang beriman itu sentiasa berhati-hati supaya tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan sentiasa menunaikan perintah-Nya.

Oleh itu, perlulah disedari betapa ibadat puasa mentarbiah jasad, roh, akal dan nafsu agar mengikut sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Empat unsur yang dikumpulkan dalam kejadian manusia itu tiada pada kejadian para malaikat, binatang dan lain-lain makhluk.

Semua aspek tersebut merupakan ciri-ciri kelebihan yang diberikan kepada manusia sehingga mereka boleh ditugaskan di alam dunia di atas muka bumi dengan janji kurniaan pahala yang sangat besar. Sebaliknya, mereka diberikan amaran yang keras pada Hari Kiamat kelak, sekiranya tidak menjalankan tugas dengan betul. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا٧٠﴾

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, dan Kami berikan mereka rezeki daripada perkara yang baik-baik dan Kami telah lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’: 70)

Adapun para malaikat mempunyai akal dan roh, tetapi tidak mempunyai nafsu dan jasad. Manakala, binatang pula mempunyai jasad, roh dan nafsu tetapi tiada akal. Hanya manusia sahaja yang boleh berperanan di bumi dan alam dunia bersama sifat kejadian yang ada pada diri mereka.

Allah SWT menegaskan dengan firman-Nya kepada para malaikat yang mulia dan sangat taat kepada-Nya apabila diciptakan manusia:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.’ Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): ‘Adakah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (saling berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kalian tidak mengetahuinya.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Ayat di atas menyatakan sifat yang menjadi kelayakan pada kejadian manusia itu yang membolehkan mereka bertugas bukan sahaja untuk beribadat, termasuk juga mentadbir urusan dunia dengan petunjuk daripada Allah SWT. Suatu kurniaan Allah SWT yang tiada pada makhluk yang lain, termasuk para malaikat yang sangat mulia itu.

Justeru, Allah SWT mentarbiah manusia yang beriman di bulan Ramadan dengan pengisian yang mendidik jasad, roh, akal dan nafsu. Bersama ibadat puasa yang mencipta sifat taqwa sebagai penentu kejayaan seseorang itu menjadi manusia yang sebenarnya dengan memenuhi ciri-ciri kejadian dan peranan atau tugasnya mengikut ketetapan Allah SWT. Maka, taqwa itu menentukan martabat manusia, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian saling kenal-mengenal (bermasyarakat madani). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat: 13)

Allah SWT mewahyukan kitab petunjuk bagi manusia yang berakhir dengan penurunan al-Quran yang diberikan kelebihan, apabila diturunkannya ke tempat yang mulia pada bulan Ramadan. Sebelum al-Quran itu seterusnya diwahyukan kepada Rasulullah SAW mengikut masa dan sebab-sebab yang ditetapkan, supaya mentarbiah manusia secara amali yang lebih berkesan.

Kitab yang mulia ini hanya dijadikan petunjuk oleh mereka yang bertaqwa sahaja. Allah SWT menentukan pilihan-Nya kepada sesiapa yang layak. Hal ini selari dengan firman Allah SWT:

﴿ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ…٣٢﴾

“Kemudian Kami wariskan al-Quran itu kepada orang-orang yang Kami pilih daripada kalangan hamba-hamba Kami…” (Surah Fatir: 32)

Maka, para Rasul AS diberikan kelebihan mengatasi para malaikat di langit kerana mereka berjaya menghadapi cabaran bersama ciri-ciri kemanusiaan dengan petunjuk Allah SWT daripada Kitab-Nya. Sifat taqwa menjadikan mereka tidak sepertimana para malaikat yang tidak mempunyai nafsu, walaupun mereka adalah makhluk yang sangat bersih dan mulia kejadiannya.

Ibadat puasa menjadi rukun Islam pada bulan Ramadan bagi mendidik kawalan nafsu dengan akal terhadap jasadnya, bersama kawalan roh yang menguasai jiwanya terhadap semua anggota jasad. Sehinggakan, manusia itu mampu menghadapi ujian dalam kehidupan dunia.

Di sana pula terdapat kalangan manusia yang lebih hina daripada binatang. Hal ini demikian kerana, mereka tidak menggunakan akal dan hilang jati diri kerana mengikuti nafsu sehingga rohaninya dihanyutkan tanpa petunjuk kerana tiada sifat taqwa.

Apabila imannya rapuh, maka akal tidak lagi digunakan dengan betul. Golongan tersebut ialah kalangan mereka yang disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A‘raf: 179)

Manusia akan bertemu Allah SWT pada Hari Kiamat untuk dihisab kepercayaan, amalan dan akhlaknya yang berperanan dalam kehidupan di dunia. Allah SWT bertanyakan satu soalan bagi menyedarkan manusia melalui firman-Nya:

﴿أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ١١٥ فَتَعَٰلَى ٱللَّهُ ٱلۡمَلِكُ ٱلۡحَقُّۖ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡكَرِيمِ١١٦﴾

“‘Maka, adakah patut kalian menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kalian secara main-main sahaja (dengan tiada sebarang hikmah pada penciptaan itu?); dan kalian (pula menyangka) bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami?’ (115); Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggi Allah, Tuhan yang sebenar; tiada Tuhan melainkan-Nya, Tuhan yang mempunyai ‘arasy yang mulia. (116)” (Surah al-Mu’minun: 115-116)

Namun, ramai daripada kalangan manusia yang leka dalam kehidupan dunia yang sangat menggoda. Allah SWT berfirman:

﴿أَلۡهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ١ حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ٢ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ٣ ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ٤ كَلَّا لَوۡ تَعۡلَمُونَ عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ٥ لَتَرَوُنَّ ٱلۡجَحِيمَ٦ ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيۡنَ ٱلۡيَقِينِ٧ ثُمَّ لَتُسۡ‍َٔلُنَّ يَوۡمَئِذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ٨﴾

“Kalian telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh). (1); Sehinggakan, kalian masuk ke dalam kubur. (2); Janganlah sekali-kali (dengan bersikap demikian) kalian akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk daripada perbuatanmu) (3); Sekali lagi (diingatkan) janganlah sekali-kali kalian bersikap demikian, kelak kalian akan mengetahui. (4); Demi sesungguhnya! Kalaulah kalian mengetahui (apa yang kalian akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin. (5); Nescaya kalian akan benar-benar melihat neraka Jahim. (6); Dan sesungguhnya kalian akan benar-benar melihatnya dengan ‘ainul yaqin (penglihatan yang yakin). (7); Kemudian, kalian pasti akan ditanya pada hari itu, tentang segala ni‘mat (yang kalian megah-megahkan itu). (8)” (Surah al-Takathur: 1-8)

Keni‘matan yang melalaikan itu merangkumi ni‘mat harta, umur, kesihatan, ilmu, kecerdikan akal sehingga digoda oleh syaitan yang menguasai nafsu yang melekakan. Maka, Ramadan bersama ibadat puasa dan lain-lain ibadat dapat memecahkan kelalaian itu dengan ibadat puasa yang bercirikan jasad, roh, akal dan melawan nafsu.

Sehinggakan, akhirnya ibadat itu melahirkan iman dengan sifat taqwa yang membuahkan ikhlas, syukur, sabar dan kejayaan melawan nafsu yang jahat. Inilah kemuncak yang dinyatakan oleh Allah SWT:

﴿لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٨٣﴾

“Agar kalian bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 3 Ramadan 1443 / 5 April 2022