Home Berita PAS Perak

Berita I Rakyat Tidak Mampu Nikmati Hasil Bumi Sendiri

1724
SHARE

Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi

PENGKALAN PEGOH: Bajet Perak 2018 yang telah dibentang oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Sidang Dun Perak semalam menjadi khabar gembira kepada imam-iman dengan penambahan insentif RM 500.

Namun pelaksanaan cukai seperti GST tetap diteruskan seakan ianya tidak bermakna bahkan menjerut kehidupan rakyat.


Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Radzi Zainon menyatakan demikian di ceramah isu semasa berkaitan “Bajet Wow” di Markas Pengkalan Pegoh, Taman Desa Aman, 21 November lalu.Beliau yang juga Adun Sungai Rapat menyifatkan bahawa bajet tersebut adalah bajet PRU apatah lagi dalam musim menghadapi pilihan raya akan datang.


“Pemberian yang dilakukan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri tidak mustahil kepada rakyat kerana inilah peluang mereka untuk menarik kepercayaan bagi mengekalkan kedudukan sedia ada.

“Pandangan awal yang boleh saya lontarkan berkaitan bajet Perak 2018 ternyata perbezaan jurang terlalu jauh antara perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

“Perbelanjaan mengurus ada peningkatan sehingga hampir mencapai 40 peratus dan ia menunjukkan berlaku beberapa sebab antaranya projek-projek sakit yang tiada berkesudahan.

“Contoh paling hampir pembinaan Silver Heritage di medan Gopeng kosnya telah mencecah 14 juta tetapi setelah melalui proses ubah suai kos tersebut meningkat sehingga 17 juta,” katanya.

Jelasnya, perkara itu membuktikan perbelanjaan mengurus lebih tinggi berbanding  perbelanjaan pembinaan kerana pelbagai aspek tidak dinilai dengan baik.

Justeru beliau berpandangan seandainya situasi tersebut berterusan maka pembangunan demi pembangunan tidak akan menguntungkan rakyat bahkan sebaliknya.

Radzi berkata, jika benar-benar kerajaan negeri ingin membantu rakyat pasti Allah SWT akan memudahkan kerana matlamatnya jelas mengutamakan hak yang diberikan tetapi andai sebaliknya maka beberapa tanda amaran dari Allah SWT dizahirkan.

“Negeri Perak antara tempat pendaratan ikan terbesar tetapi rakyat tak mampu beli kerana harganya begitu tinggi.

“Rakyat pribumi tidak dapat menikmati apa-apa khazanah dari bumi sendiri walaupun ianya kurniaan Allah SWT untuk dinikmati bersama.

“Pernah satu ketika saya meninjau pasar-pasar basah melihat seorang makcik membeli ikan kembong pada mulanya mengambil 3 ekor namun setelah ditanya harga seekor demi seekor dilepaskan akhir tidak jadi untuk membeli.

“Terdetik dalam hati saya betapa sukarnya kehidupan rakyat dalam situasi ekonomi yang begitu membebankan sedangkan Perak menjadi tempat pendaratan ikan terbesar di Malaysia.

“Ini telah disebutkan sendiri oleh Menteri Besar Perak dalam pembentangan bajet tapi sayang harga ikan melambung tinggi sehingga membuat rakyat termenung untuk membeli ikan temenung,” ujarnya.

Radzi menegaskan bahawa dalam sesi perbahasan bajet Perak 2018 beliau akan menggesa pihak kerajaan mencari formula terbaik untuk sampaikan ikan kepada rakyat dengan hrga yang mampu bagi rakyat bawahan.

Beliau turut menyatakan dalam beberapa sesi sidang Dun lalu, dia pernah mempersoalkan berkaitan peruntukan 16 juta kepada FAMA namun respon diterima  masih samar tanpa jawapan yang memuaskan.

Yang Dipertua PAS Gopeng itu berkata wakil-wakil rakyat PAS akan berusaha membangkitkan segala isu dalam perbahasan bajet demi membawa suara rakyat kepada pihak kerajaan.

Mengulas isu pembinaan Movie Animation Park Studio (MAPS) di Meru beliau dengan lantang merasakan projek tersebut tidak memberikan pulangan kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak.

“Pelaburan besar dari negeri perak dalam pembinaan MAPS dengan kerjasama sebuah firma Australia menelan kos RM 600 ratus juta.
“Semasa kunjungan dibuat jumlah pengunjung sehari hanya sekitar 300 orang pengunjung bahkan jumlah pekerja sekitar 500 orang dan tidak semua kemudahan dalam kawasan taman animasi ini boleh digunakan.

“Untuk masuk sahaja seorang perlu menyediakan RM 150 tidak termasuk lagi maakan dan minum, ini satu pelaburan yang benar-benar merugikan.

“Kos yang diperolehi tidak setimpal dengan kadar perbelanjaan yang digunakan hakikat itulah hasil dari cukai-cukai pintu dibayar oleh rakyat dipergunakan,” tegasnya.