KEMAMAN – Pertumbuhan sektor pelancongan yang pesat di Terengganu telah memberikan manfaat ekonomi secara langsung kepada rakyat negeri ini, sekali gus menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan dan peluang perniagaan setempat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada tahun 2024, Terengganu mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, jauh mengatasi sasaran asal sebanyak 4.5 juta.
“Kehadiran pelancong yang tinggi ini telah menghidupkan pelbagai aktiviti ekonomi rakyat tempatan, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan makanan.
“Pelancong yang datang ke Terengganu bukan sekadar melancong secara berkhemah atau tidur dalam kenderaan, sebaliknya menginap di hotel dan ‘homestay’ yang dimiliki oleh rakyat negeri ini, termasuk oleh syarikat-syarikat milik kerajaan negeri serta pengusaha daripada pelbagai kaum.
“Hotel dan ‘homestay’ ni hak siapa dia? Hak rakyat negeri kita. Bila pelancong ramai masuk, mereka duduk di hotel ini ataupun di ‘homestay’ . Siapa boleh hasil? Mereka dapat hasil,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, Kemaman, semalam.
Ahmad Samsuri berkata, selain penginapan, pelancong juga berbelanja untuk menikmati makanan tempatan seperti sata, keropok lekor, nasi dagang dan nasi minyak yang semuanya diusahakan oleh rakyat Terengganu.
“Kesan daripada kemasukan pelancong ini, peniaga kecil yang dahulunya memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 sebulan kini mampu menjana RM2,000 hingga RM3,000.
“Lonjakan pelancong turut membuka ruang kepada pertumbuhan perkhidmatan baharu seperti bot pelancong ke pulau, aktiviti mencandat sotong dan memancing yang diusahakan secara langsung oleh penduduk setempat,” katanya.
Namun begitu, hasil langsung kepada kerajaan negeri daripada sektor pelancongan masih sangat minimum.
“Ini kerana tiada kutipan cukai masuk di sempadan negeri seperti yang dilakukan di peringkat antarabangsa. Satu-satunya hasil langsung kepada negeri adalah cukai katil (bed tax) yang dikenakan di hotel.
“Sebaliknya, hasil utama daripada pertumbuhan pelancongan ini lebih banyak dinikmati oleh kerajaan pusat melalui cukai pendapatan (income tax) yang dikenakan kepada syarikat dan pengusaha perniagaan.
“Sebab itulah kerajaan pusat kena beri kerjasama yang penuh kepada kerajaan negeri. Tak boleh dah nak hidup, nak beroperasi negeri dan negara dan Malaysia ini dengan cara yang berasingan atau nak berseteru dengan negeri. Itu cara lama,” ujarnya.