MARANG – Program Kad Sejahtera yang pernah dihentikan tahun lalu akibat kekangan kewangan negeri kini kembali diteruskan bagi memberi kemudahan rawatan kesihatan kepada rakyat berpendapatan rendah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Dato’ Ariffin Deraman meluahkan rasa syukur dan gembira apabila bantuan Kad Sejahtera kini disambung semula oleh Kerajaan Negeri Terengganu.
“Pemberian Kad Sejahtera terpaksa dihentikan tahun lalu susulan sekatan terhadap royalti negeri yang menyebabkan kekangan sumber kewangan negeri.
“Namun, pada tahun ini kerajaan negeri tetap berusaha untuk membantu rakyat,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.
Ariffin berkata demikian ketika berucap di Majlis Taklimat Kad Sejahtera Fasa Ke-5 Tahun 2025/2026 yang diadakan di Dewan Sivik Bukit Payung, semalam.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Shamsul Bahri Salleh, menjelaskan bahawa manfaat Kad Sejahtera sehingga RM500 setahun yang sebelum ini diterima oleh rakyat berpendapatan rendah terpaksa dikurangkan.
“Penerima yang layak boleh mendapatkan rawatan di klinik panel terpilih di seluruh negeri Terengganu dengan nilaian RM200 untuk tempoh enam bulan, bermula 1 Oktober 2025 hingga 31 Mac 2026,” katanya.