MARANG – Lebih 1,000 rakyat Terengganu berhimpun di perkarangan Masjid Rusila petang tadi dalam satu demonstrasi bagi mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang terus menyokong Israel.
Demonstrasi yang berlangsung dari jam 2 hingga 3 petang itu menyaksikan peserta mengutuk kenyataan celupar bekas Presiden AS, Donald Trump, yang mahu merampas tanah Gaza.
Antara pengisian perhimpunan tersebut adalah ucapan mengecam tindakan Trump dan AS, bacaan ikrar solidariti bersama Palestin, serta seruan untuk terus berjuang mempertahankan hak rakyat Palestin daripada kezaliman Israel.
Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Harun Esa yang menjadi penceramah himpunan terbabit, berkata demonstrasi itu menunjukkan rakyat Terengganu bersatu hati dalam menentang kezaliman dan mempertahankan Palestin.
“Kami tidak akan berdiam diri. Selagi Israel menindas rakyat Palestin dan AS terus menjadi dalang, kami akan terus bersuara,” katanya.
Sementara itu, bagi guru Madrasah Darul Quran, Yusuf Abdul Hadi menegaskan bahawa sebagai umat Islam, perjuangan membela Palestin adalah satu kewajipan.
“Kami di sini mungkin jauh dari Gaza, tetapi hati dan doa kami sentiasa bersama saudara-saudara di sana. Kita mesti terus menyebarkan kesedaran dan mendesak dunia mengambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, bagi Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan Kelantan, Mohd Kamal Mohamed yang turut hadir menyatakan solidariti berkata, 26, berkata demonstrasi itu membuktikan bahawa rakyat Malaysia tidak gentar untuk bersuara menentang kezaliman.
“Kami mahu dunia tahu bahawa rakyat Malaysia, khususnya di sini tetap teguh berdiri bersama Palestin. Ini bukan sekadar isu politik, tetapi isu kemanusiaan,” katanya.
Demonstrasi ini adalah sebahagian daripada gelombang sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap Palestin, dengan pelbagai pihak terus mendesak tindakan tegas daripada kerajaan dan masyarakat antarabangsa.
Baru-baru ini Trump berikrar bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.
Tindakan itu mengundang bantahan ramai pihak termasuk Malaysia.