KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menggalakkan rakyat Terengganu terlibat dalam sektor tanaman kontan yang boleh menjana hasil cepat dan memberikan impak tinggi kepada sosial ekonomi rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman kontan singkat masa seperti cili, labu, terung, nanas dan sebaginya tidak memerlukan modal yang begitu besar dan penjagaannya juga lebih praktikal.
“Untuk modal permulaan mereka boleh mohon melalui Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT) manakala tapak tanah kerajaan boleh mohon Lesen Pendudukan Sementara,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Udangan Negeri Jabi (ADUN) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Permaisuri, Mohd Yusop Majid dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga menyediakan kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dikhususkan untuk tanaman kontan dengan kadar sewa yang sangat rendah.
“Ketika ini Terengganu mempunyai lima TKPM iaitu TKPM Rhu Tapai, Setiu; Tok Dor, Besut; Serating, Marang; Peradong, Kuala Terengganu dan Paloh Jenang, Kemaman melibatkan keluasan keseluruhan 1,194 hektar.
“Menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030, sebanyak enam TKPM baru bakal diwujudkan iaitu di Telaga Papan, Setiu; Pela, Hulu Terengganu; Pinang Merah dan Rantau Abang, Dungun; Kemasik, Kemaman dan Bukit Rong Ubi di Kuala Nerus,” ujarnya.
Sementara itu katanya, pengusaha pertanian yang mempunyai modal disyorkan menceburi sektor tanaman durian yang berpotensi menjana pendapatan lumayan.
“Produk durian samada durian segar atau diproses dari Malaysia telah memasuki pasaran eksport.
“Malaysia telah memeterai protokol baharu dengan negara China bagi pengeksportan durian sejuk beku pada Mei 2019 dan buah segar pada 2024,” ujarnya.
Katanya, selaras dengan permintaan yang tinggi sektor durian, Kerajaan Negeri mengfokuskan kepada dua strategi iaitu pembukaan kebun dan ladang bagi penanaman baru durian serta pemulihan dusun-dusun durian sedia ada.
“Potensi hasil tanaman ini mampu mencecah sehingga 14.7 metrik tan sehektar,” ujarnya.
Malah katanya, statistik menunjukkan keluasan tanaman durian di Terengganu meningkat ketara daripada 1,696.5 hektar pada 2016 kepada 3,165.4 hektar pada tahun lalu.