Home Berita PAS Terengganu

Rakyat ‘Nazak’ dengan kenaikan harga barang

18
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kenaikan harga barangan terutama barang basah sejak kebelakangan ini benar-benar menghimpit hidup rakyat dan mereka meminta kerajaan melakukan sesuatu agar kenaikan harga itu dapat dikawal.

Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman di pasar-pasar sekitar bandar raya ini mendapati berlaku kenaikan harga barang basah yang agak tinggi.

Beberapa pengguna yang ditemui mengharapkan kenaikan harga barang itu hanya bersifat sementara dan kerajaan terus memantau isu berkenaan

Seorang suri rumah, Nora Ismail, 58, berkata, pengguna perlu bijak membeli barang secara berhemah dan mengamalkan gaya hidup berjimat cermat.

“Kenaikan harga barangan sekarang ini sangat memberi kesan kepada pengguna, cuma beli apa yang perlu, pengguna perlu bijak berbelanja, kita hendak marah peniaga juga tidak boleh kerana mereka juga beli daripada orang tengah.

“Kerajaan kena pantau harga, buat sesuatu untuk rakyat, semoga ada kebaikan kepada kesemua pihak,” ujarnya.

Sementara itu, Nor Azrul Mohd Azhar, 45, berkata, kenaikan harga barang basah merungsingkannya sebagai seorang peniaga makanan.

“Saya jual makanan pagi seperti nasi lemak, nasi minyak dan lain-lain yang kebanyakkan berasaskan barangan basah seperti beras, ayam serta sayur-sayuran.

“Kenaikan harga barangan sudah pasti memberi kesan kepada jualan saya dari segi modal dan keuntungan, sebagai contoh kalau dulu dengan RM100 boleh beli barang-barang untuk masak nasi sekarang kena keluarkan RM130,” ujarnya.

Katanya, walaupun keuntungan sedikit terjejas dia tidak sampai hati untuk menaikkan harga makanan yang dijualnya kerana kesiankan pelanggan.

Nor Azrul yang membuka kedai makan berhampiran Pasar Chabang Tiga berharap kerajaan terus memantau harga barang kerana ada peniaga menaikkan harga barang dengan alasan mereka turut membeli pada harga tinggi daripada pemborong atau orang tengah.

“Pengguna kena pandai pilih, cari tempat-tempat yang jual murah, kadang ada juga peniaga yang ambil kesempatan dan ini sebenarnya tidak patut,” ujarnya.