Oleh : Fatimah Din
MARANG – Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang mahu Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar terus mewakili mereka di kawasan itu.
Zainun Mansor, 53, berkata Naib Presiden PAS itu perlu dikekalkan di DUN terbabit atas prestasi cemerlangnya dalam membela nasib rakyat.
“Rakyat setempat juga berharap supaya seluruh DUN di Terengganu ini dimenangi oleh PAS, 32 dibalas 0 untuk parti lawan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Marang di sini hari ini.
Sementara itu, Hanim Sofia Mohd Zuhur, 25, berkata dia berharap agar Ahmad Samsuri berjaya mengekalkan kerusi itu pada 12 Ogos nanti.
“Saya juga menyeru pada anak muda dan perantau supaya undilah PAS dan baliklah mengundi kerana mengundi ini lima tahun sekali sahaja,” katanya.
Terdahulu, perarakan calon PAS bagi DUN Ru Rendang bermula pada 8.45 pagi dengan kehadiran hampir tiga ribu penyokong.
Perarakan bermula di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Ru Rendang Kampung Kijing sehingga ke Pejabat Tanah Daerah Marang.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas, DUN Ru Rendang mempunyai lebih 25,999 pengundi dengan lebih 90 peratus daripada pengundi adalah melayu.
Ketika itu, Ahmad Samsuri telah berjaya menewaskan calon BN iaitu Dato’ Nik Dir Nik Wan Ku dengan majoriti 6,028 undi.