Home Berita PAS Terengganu

Rakyat Diusir, Tanah Dirampas – Pemuda PAS Marang Bantah URA

20
SHARE

MARANG – Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang hari membantah keras Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang didakwa memberi kuasa luar biasa kepada kerajaan atau pemaju untuk merampas tanah rakyat atas nama pembangunan.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Marang, Mohd Irsyad Syafiq Burhanuddin, URA bukan sekadar mekanisme pembangunan semula bandar, tetapi satu instrumen undang-undang yang memberi kuasa hampir mutlak kepada pihak tertentu untuk mengambil alih tanah milik rakyat, khususnya orang Melayu bandar.

“URA ini sangat merisaukan. Ia beri kuasa terlalu besar kepada pihak berkepentingan untuk mengambil tanah milik rakyat dengan alasan pembangunan.

“Penduduk asal boleh diusir dan komuniti tradisi dilenyapkan, ini bukan pembaharuan, ini pengusiran sah,” tegas beliau selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kelmarin.

Tambahnya lagi, anak muda Marang melihat URA sebagai satu bentuk penjajahan moden, di mana hak milik digadaikan atas nama kemajuan yang berat sebelah.

“Kami hadir hari ini bukan sekadar serah memorandum tetapi membawa suara rakyat yang tidak rela melihat tanah mereka tergadai begitu sahaja,” katanya.

Jelas Mohd Irsyad, penyerahan memorandum adalah isyarat jelas bahawa anak muda menolak sebarang usaha memperlekeh hak milik tanah rakyat.

Beliau juga menyeru seluruh anak muda dan rakyat Malaysia untuk cakna dan bangkit menolak sebarang usaha halus yang cuba ‘menghalalkan’ rampasan aset milik rakyat.