BESUT, – Seluruh rakyat Besut dirayu agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk kekal berada di rumah jika tiada keperluan keluar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha itu amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang semakin mengganas.
“Saya jarang keluarkan rayuan atau kenyataan minta kita semua duduk di rumah, namun terpaksa dirayu ramai orang kita sendiri tak duduk diam di rumah.
“Sekali ini sahaja nak minta tolong jangan keluar rumah jika tiada keperluan. Biarlah tak nak duduk di rumah pun asalkan jangan keluar rumah.
“Kes COVID-9 di Besut belum menampakkan trend penurunan. Kerajaan dah bagi beberapa ruang kelonggaran dalam SOP PKPD demi kelangsungan kehidupan rakyat. Manfaatkan sebaiknya dan jangan salah guna,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman sosial rasminya hari ini.
Sementara itu menurut Dr Azman, dalam menghadapi situasi yang sukar sekarang ini, pihaknya juga adalah bertanggungjawab berada di barisan hadapan bagi menyelesaikan pelbagai isu rakyat.
“Sebab itu kami diberikan kebenaran pergerakan untuk rentas daerah dan negeri dalam keadaan rakyat dinasihatkan supaya duduk di rumah. Ia bukan keistimewaan, tapi merupakan pelaksanaan tanggungjawab.
“Tanggungjawab kami tidak sempurna dilaksanakan secara atas talian (online). Tambah-tambah lagi apabila sektor yang dijaga adalah Senarai Perkhidmatan Perlu yang melibatkan rakyat umum terbanyak yang tidak berapa ambil tahu apa itu ‘online’.
“Janganlah anggap keistimewaan apabila kami boleh ke kebun, ladang, sawah, jeti nelayan dan sebagainya kerana kami juga sebagai manusia kalau boleh tentulah kami pilih untuk duduk bersama keluarga, anak dan isteri,” jelasnya lagi.